PUTRAJAYA: Jumlah kes harian baharu Covid-19, yang masih terus menunjukkan trend peningkatan antara punca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 perlu dilanjutkan lagi.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan, Kementerian Kesihatan turut mendapati kadar positif dalam kluster juga naik antara 20 hingga 40 peratus.
“Selain itu, penularan jangkitan sporadik dalam komuniti juga tinggi melibatkan warganegara dan rakyat asing,” katanya lagi pada sidang akhbar mengenai PKP di pejabatnya hari ini.
Justeru ujarnya, atas penilaian risiko dan nasihat oleh kementerian itu, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menyambung PKP 2.0 sehingga 18 Februari depan.
Namun, ia tidak meliputi Sarawak yang masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali di dua daerah dan satu bahagian di negeri itu yang dikenakan PKP.
PKP 2.0 dilaksanakan pada 13 Januari lalu dan mengulangi PKP 1.0 diperkenalkan pada 18 Mac hingga 12 Mei tahun lepas; kecuali beberapa sektor ekonomi diberi kelonggaran khas.
Bagaimanapun Ismail Sabri menegaskan, pergerakan rentas negeri dan aktiviti sosial lain masih tidak dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) kekal seperti sebelum ini.
“PKP kali ini adalah berbeza daripada PKP kali pertama yang pernah dilaksanakan pada tahun lalu dengan suasana total lockdown (perintah berkurung sepenuhnya),” kata beliau.
Keputusan pelanjutan itu ujar beliau, dibuat berdasarkan data-data daripada Kementerian Kesihatan misalnya larangan rentas negeri ekoran ada 31 kluster berkaitan yang dikesan.
Pada masa sama, MKN turut membentangkan 10 strategi kerajaan dalam rangka menghadapi pandemik Covid-19 termasuk pengurusan sektor ekonomi dalam fasa kedua PKP 2.0.
Ia meliputi tindakan perundangan melalui Ordinan Darurat bagi memperkukuhkan penguatkuasaan dan pengurusan asrama pekerja warga asing oleh satu pasukan khas.
Strategi lain katanya, ialah pematuhan SOP di tempat kerja melalui pemantauan agresif serta pemantauan pematuhan menyeluruh oleh ‘flying squad’ oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Kita juga akan buat program saringan secara agresif warga asing dan menubuhkan Skuad ABC-19 atau Agen Basmi Covid-19 melibatkan peranan sukarelawan komuniti,” katanya.
Di samping itu, Ismail Sabri menambah, program imunisasi kebangsaan dan penggunaan teknologi bagi pengukuhan tindakan kesihatan selain naziran pelaksanaan turut dirancang.
Kerajaan tegas beliau, juga akan melaksanakan strategi penempatan sementara sektor awam bagi memperkasa agensi tunjang pengurusan pandemik sebagai antara 10 strategi itu. -UTUSAN ONLINE