Transformasi industri mineral negara - Utusan Malaysia

Transformasi industri mineral negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021 – 2030 (TIM 2021 – 2030) dibangunkan sebagai agenda baharu pembangunan industri mineral di negara ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat pertama Majlis Mineral Negara yang diwujudkan semula pada 28 Ogos tahun lalu sebagai platform utama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan isu-isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral dalam usaha mewujudkan perlombongan mampan.

Menurut beliau, TIM 2021-2030 itu bertujuan membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran sekali gus memberi pulangan jangka panjang sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

“MMN juga akan memantau pelaksanaan TIM 2021 – 2030 yang sedang diusahakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan bersetuju dengan kerangka dokumen-dokumen prosedur operasi standard (SOP) aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit dan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.

“SOP ini akan dijadikan sebagai rujukan dan panduan pihak-pihak berkepentingan terdiri daripada agensi persekutuan dan negeri, penggiat industri, badan-badan profesional, ahli-ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat MMN itu dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara dalam talian yang turut dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Shamsul Anuar berkata, MMN turut dimaklumkan tentang cadangan pengezonan kawasan yang berpotensi untuk perlombongan dan perkuarian dalam proses perancangan fizikal negara.

Katanya, aktiviti pemetaan sumber mineral akan mengambil kira status tanah dan pembangunan di sekitar kawasan tersebut bagi mendapatkan maklumat tepat kawasan yang mempunyai nilai mineral yang ekonomik untuk dilombong.

Beliau menjelaskan, ini bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri mewartakan zon perlombongan dalam Pelan Struktur Negeri masing-masing seterusnya diselaraskan dalam Rancangan Tempatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

“MMN juga dimaklumkan tentang status penarafan kemampanan industri perlombongan dan perkuarian di Malaysia melalui penggunaan kaedah Petunjuk Pembangunan Mampan (SDI).

“Dalam petunjuk kemampanan tersebut, aspek penting yang diambil kira adalah bagi menggalakkan industri itu berkembang dan membangun secara mampan dengan disokong oleh elemen pelaksanaan dasar, prosedur, garis panduan serta sistem kawal selia yang lengkap,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam jangka masa panjang, pembangunan mampan industri turut akan menghasilkan faedah-faedah lain seperti pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan hasil dan pengeluaran, pembangunan pembelajaran, peningkatan sumbangan kepada masyarakat setempat, peningkatan penglibatan wanita dan seterusnya melindungi hak-hak pekerja.

Bagi memacu pembangunan industri REE di negara ini, katanya, MMN turut dimaklumkan isu-isu penyelidikan dan pembangunan serta isu komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam mengenai industri REE yang dikenal pasti dalam kajian-kajian yang dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia sebelum ini.

“Pembentangan mengenainya turut memberikan cadangan kerjasama yang wajar dilaksanakan bagi mengatasi isu-isu yang dibangkitkan tersebut.

“Selain itu, MMN turut mendengar pembentangan dari Agensi Angkasa Malaysia (MySA) mengenai penggunaan teknologi angkasa bagi tujuan eksplorasi dan pemantauan sumber mineral negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN