TANAH MERAH: Tokan pil kuda berdepan hukuman mati mandatori selepas dia ditahan polis kerana memiliki 630 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Gua, Bukit Panau di sini semalam.
Selain pil kuda, polis turut merampas 45 botol ubat batuk, dua kilogram daun ketum dan dua biji pil erimin 5 dengan nilai RM6,850 ketika serbuan pada pukul 1.35 tengah hari itu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusoff berkata, ketika serbuan dijalankan, suspek yang berusia 28 tahun bersendirian dalam rumah tersebut.
Katanya, suspek enggan membuka pintu jeriji, sebaliknya bertindak melarikan diri ke bilik belakang selepas pegawai polis memperkenalkan diri.
“Bimbang barang kes akan dimusnahkan oleh suspek, anggota polis bertindak memecahkan pintu jeriji rumahnya sebelum memberkas lelaki itu.
“Pemeriksaan di dalam bilik rumah itu telah membawa kepada penemuan pil-pil kuda, ubat batuk, daun ketum dan pil erimin 5,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, siasatan mendapati, suspek yang merupakan seorang penganggur aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun, dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta jenis Perodua Kancil, barang kemas, beg tangan berjenama mewah, telefon pintar dan wang tunai RM 1,300 dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM 63,800.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE