KUALA LUMPUR: Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 bermula Khamis ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tanpa kompromi itu akan dilaksanakan dengan memfokuskan sektor perkilangan dan pembinaan yang beroperasi kerana sektor berkenaan merupakan penyumbang utama peningkatan kes.
Ujarnya, kompaun RM1,000 untuk sesiapa yang melanggar SOP mungkin besar bagi rakyat namun nilainya terlalu rendah jika dikenakan kepada syarikat-syarikat.
“Sebelum ini rakyat marah kenapa denda terhadap syarikat yang mengakibatkan peningkatan kes hanya RM1,000. Sebenarnya bukan kita tak mahu tinggikan denda, tapi kerana itu adalah denda maksimum di bawah Akta 342.
“Semalam Ketua Polis Negara juga sudah memberi amaran tentang hukuman lebih berat akan dikenakan kepada sesiapa yang melanggar SOP, jadi kita tunggu apa bentuk hukuman tersebut kerana ini melibatkan Ordinan Darurat,” katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Gombak, di sini semalam.
Ujar Ismail Sabri, bagi memastikan penularan wabak dalam dua sektor tersebut dapat dikawal, semua pekerja warga asing wajib menjalani ujian saringan mulai hari ini.
“Selain mewajibkan ujian saringan, menerusi Ordinan Darurat, kita akan memastikan majikan menyediakan tempat tinggal atau perumahan yang baik kepada pekerja warga asing dalam satu tempoh yang ditetapkan supaya wabak tidak menular dalam kawasan kejiranan.
“Kita dah tutup banyak kilang kerana melanggar peraturan contohnya sebelum ini 28 kilang Top Glove ditutup bagi mengekang penularan wabak. Oleh itu kita tidak mahu perkara sama berlaku jadi kita fokus kepada penyumbang terbesar Covid-19 (sektor perkilangan dan pembinaan),” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pendapat orang ramai yang menyatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini tidak memberi kesan berikutan jumlah kes yang tidak menunjukkan penurunan, Ismail Sabri menjelaskan itu adalah bagi menjaga kepentingan ekonomi rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).
Tegasnya, kerana memikirkan denyut nadi rakyat, kerajaan mengambil keputusan sektor ekonomi tidak akan ditutup bagi mengimbangi kehidupan serta kesihatan rakyat.
“Walaupun kita benarkan penjaja membuka kedai, namun pendapatan mereka kurang 50 peratus berbanding sebelum PKP. Cuba bayangkan kalau kita tutup semua warung atau kedai tepi jalan ini, sudah tentu menambahkan kesukaran kepada mereka.
“Dalam memerangi Covid-19, kita kena fikir juga kehidupan mereka yang kurang berkemampuan dan setakat ini juga, belum lagi kita dengar ada kluster pasar pagi atau gerai tepi jalan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE