Tiga warga Myanmar ditahan langgar syarat sah lesen  - Utusan Malaysia

Tiga warga Myanmar ditahan langgar syarat sah lesen 

BOT nelayan yang ditahan Maritim Selangor di sekitar perairan Kuala Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan sebuah bot nelayan melanggar syarat sah lesen mengundang padah selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) negeri di kedudukan kira-kira 4.0 batu nautika selatan perairan Kuala Selangor, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, bot Kelas A dikendalikan tiga lelaki warga Myanmar berkenaan datang dari arah Tanjong Karang.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan itu hasil maklumat pihaknya yang sedang melakukan Ops Benteng Laut di perairan berkenaan. 

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiga kru bot berusia 18 hingga 38 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, permit dan pas lawatan sosial semua lelaki Myanmar ini didapati telah tamat tempoh.

“Oleh demikian, bot dan tiga kru bersama ikan yang dianggarkan seberat 150 kilogram (kg) dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohammad Rosli, siasatan dijalankan pihaknya mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

“Selain itu, mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit dan menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN