Tiga termasuk suami isteri mengaku tidak bersalah lepaskan PATI - Utusan Malaysia

Tiga termasuk suami isteri mengaku tidak bersalah lepaskan PATI

Harlifarhani, Muhammad Zul (tengah) dan Mohd. Faizzan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam Selangor atas pertuduhan melepaskan PATI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) dan penggubahan wang haram di antara 2018 hingga 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga termasuk sepasang suami isteri yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melepaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dan penggubahan wang haram di antara 2018 hingga tahun lepas.

Muhammad Zul Anishaffizie Zakaria, 32, yang merupakan Pegawai Imigresen dan isterinya merupakan peniaga butik pakaian, Harlifarhani Abdul Halim,29, serta Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd. Faizzan Sani, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut lapan pertuduhan utama, Muhammad Zul menerima keseluruhan wang tunai RM310,800 tanpa balasan daripada tiga individu termasuk seorang wanita berusia 38 hingga 53 tahun melalui akaun simpanan bank milik isterinya dan seorang lagi wanita bagi membantu melepaskan warga China dan Indonesia keluar dari Malaysia.

Berdasarkan pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Zul yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan AMC KLIA itu juga didakwa lapan pertuduhan pilihan menerima suapan dengan jumlah sama dengan cara memasukkan wang menggunakan kaedah dan tujuan sama.

Dia telah melanggar peruntukkan Seksyen 2 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya mengikut 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Bapa kepada seorang anak itu turut didakwa enam pertuduhan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (AMLATFPUAA) dengan jumlah keseluruhan RM278,700 yang diterima menerusi 86 transaksi pemindahan wang hasil aktiviti haram daripada dua individu yang dimasukkan dalam akaun milik seorang wanita berusia 51 tahun.

Dalam pada itu, Harlifarhani pula didakwa dua pertuduhan AMLATFPUAA dengan menerima wang keseluruhan RM32,100 daripada wanita berusia 44 tahun ke dalam akaun miliknya.

Bagi pertuduhan di bawah AMLATFPUAA, pasangan suami isteri itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang lima ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta mana lebih tinggi mengikut Seksyen 41 (1) (b) AMLATFPUAA yang boleh dihukum dibawah Seksyen 4 (1) akta sama, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank masing-masing di KLIA dan Bandar Baru Ampang sejak Februari 2018 hingga November 2020.

Sementara itu, Mohd. Faizzan yang bertugas di Pejabat Operasi Imigresen KLIA 2 didakwa tiga pertuduhan telah diberikan suapan keseluruhan RM1,000 daripada tiga pembantu Imigresen Gred KP19 berusia 30 hingga 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warganegara China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Mohd. Faizzan didakwa melakukan kesalahan di Aras 1 dan 2 Bahagian Kawalan dan Keselamatan Pejabat Imigresen KLIA2 sejak November 2019 sehingga November tahun lalu.

Jika sabit bersalah, dia boleh dipenjara penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Azmir Wan Majid.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zul diikat jamin RM55,000 untuk kesemua pertuduhan dan isterinya pula diikat jamin RM10,000 manakala Mohd. Faizzan dengan RM5,000 bersama seorang penjamin.

Hakim turut mengarahkan kesemua mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya serat menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Mac hadapan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya