Tiga sahabat usahakan Ratah Chezz - Utusan Malaysia

Tiga sahabat usahakan Ratah Chezz

MUHAMAD Sharill Mohd. Radzhi (kiri), Muhammad Ameer Arif (tengah) dan Mohamad Hafizz Noor Azman berbincang tentang kerepek Ratah Chezz yang dihasilkan mereka di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau. – UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Tiga sahabat berusia 23 tahun ini kehilangan kerja pada Mac tahun lalu selepas kilang tempat mereka mencari rezeki di Bayan Lepas dekat sini ditutup akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Muhamad Sharill Mohd. Radzhi, Mohamad Hafizz Noor Azman dan Muhammad Ameer Arif tidak menunggu lama untuk bangkit semula mencari rezeki dengan meneroka bidang perniagaan kerepek pelbagai perisa.

Berbekalkan wang RM300 yang dikongsi bersama, ketiga-tiga mereka memulakan perniagaan kerepek perisa keju dan nestum dengan menggunakan jenama Ratah Chezz.

Muhamad Sharill berkata, seminggu selepas kehilangan kerja, ketiga-tiga mereka sepakat menjual kerepek popia berperisa keju dan nestum kepada rakanrakan serta saudara terdekat.

“Kami memulakan operasi memproses kerepek daripada kulit popia ini di rumah saya di Sungai Pinang dan hanya membuat 100 balang kerepek buat permulaan.

“Kami tidak sangka sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan dan kami terus berniaga kerepek pelbagai perisa ini sehingga hari ini.

“Sekarang kami dapat menyewa sebuah kedai di Kuala Sungai Pinang untuk dijadikan pusat operasi,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Pinang di sini semalam.

Menurut Muhamad Sharill, mereka menggunakan sepenuhnya medium digital seperti Facebook, TikTok dan Instagram untuk mempromosikan produk Ratah Chezz.

Tambahnya, setiap hari mereka akan mempromosikan produk Ratah Chezz yang berharga RM15 sebalang di laman sosial Ratah Chezz Official bagi menarik minat orang ramai terhadap produk mereka.

“Selain itu, kami turut membuat promosi melalui ‘car boot sale’ di sekitar Balik Pulau serta menggunakan sistem ejen untuk menjual produk kami,” katanya.

Tambahnya, jualan mereka juga semakin meningkat dan mencapai 500 balang sebulan dengan penggunaan sistem ejen dan kini Ratah Chezz mempunyai 50 ejen.

“Kami merancang memasarkan Ratah Chezz ke seluruh negara melalui sistem ejen dan mereka yang berminat boleh berhubung dengan kami di laman Facebook Ratah Chezz atau berhubung di talian 018-9552734.

“Kami tiada ilmu mengenai bidang perniagaan, namun kami bersedia belajar daripada manamana agensi untuk memajukan produk kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya