JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai memiliki dan menjual air ketum dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan sekitar Permas Jaya di sini, bermula pukul 11 malam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 37 tahun.
Menurutnya, dalam siri serbuan itu, pihaknya turut merampas 54.9 liter air ketum dan 20 kilogram daun ketum bernilai RM749.
“Dalam serbuan pertama, polis merampas 85 bungkus plastik lutsinar dipercayai berisi air ketum, satu periuk, satu dapur gas dan satu tong gas yang dipercayai digunakan untuk memasak air ketum.
“Pada serbuan kedua, polis merampas empat plastik lutsinar berisi air ketum dan enam bungkus plastik berisi daun ketum, manakala dalam serbuan ketiga, polis merampas satu guni berisi sisa daun ketum, 50 plastik berisi daun ketum dan pelbagai perkakas digunakan untuk memasak air ketum,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Padzli, soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati air ketum berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri dan untuk dijual kepada pembeli tetap mereka.
“Ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati kesemua negatif penyalahgunaan dadah selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam,” ujarnya.
Mohd. Padzli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Pihaknya turut meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan kegiatan salah laku menerusi talian 07-2182323. -UTUSAN ONLINE