ALOR SETAR: Tiga hospital di negeri ini akan menjadi pusat pengumpulan vaksin sebelum diedarkan ke pusat-pusat kesihatan di seluruh Kedah bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, tiga hospital tersebut adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II di sini, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi.
“Ketiga-tiga hospital ini memiliki keupayaan menyimpan vaksin pada suhu diperlukan iaitu -80 darjah Celsius untuk bertahan dalam jangka masa panjang. Vaksin-vaksin itu kemudiannya akan diedarkan kepada pusat-pusat kesihatan yang akan menjalankan kerja-kerja vaksin kepada penerima.
“Bagaimanapun, pengedarannya perlu mengikut jadual yang ketat kerana vaksin tersebut hanya mampu bertahan lima hari jika disimpan pada suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Katanya, kira-kira 2,300 pegawai dan kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah akan menjadi golongan pertama yang menerima suntikan vaksin tersebut di negeri ini pada hujung bulan ini.
“Mereka akan menerima suntikan tersebut di hospital berkenaan. Bagi petugas barisan hadapan yang lain, mereka akan menerima suntikan vaksin di pusat-pusat kesihatan ditetapkan nanti.
“Jumlah keseluruhan petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan vaksin di Kedah akan diumumkan kemudian dengan jadual suntikan untuk mereka kini disusun Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Jelas beliau, kalangan rakyat negeri ini tidak perlu bimbang atau risau untuk mendapatkan vaksin kerana penggunaannya telah dipastikan selamat.
“Penghasilannya juga tidak melibatkan sebarang komponen haiwan dan alhamdulillah, pihak berkuasa agama juga mengatakan vaksin ini harus digunakan,” katanya.