SHAH ALAM: Tindakan seorang lelaki berselindung di sebalik perniagaan runcit dengan menjual minuman keras tidak bercukai sejak dua tahun lalu terbongkar apabila dia ditahan bersama adiknya semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.15 pagi, dua beradik berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan di Jalan Sembilang, Taman Tenaga, Kuala Lumpur.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rizal Mohamed berkata, pihaknya telah melakukan serbuan dan menemukan sejumlah minuman keras yang disorokkan di dalam kenderaan dan kedai runcit yang merupakan perniagaan keluarga kedua-dua suspek.
Menurutnya, hasil siasatan membawa kepada serbuan di sebuah flat di Cheras milik suspek dan turut menemukan minuman keras disorokkan dalam kenderaan di kawasan perumahan tersebut.
“Keseluruhannya kita merampas sebanyak 218 botol dan 14 tin minuman keras bernilai RM8,861.20 dengan cukai RM11,031.02.
“Pada masa sama, kita telah melakukan serbuan berasingan di Jalan Kayu Ara Indah, Petaling Jaga dekat sini dan menahan seorang individu warga tempatan dan merampas 21 botol minuman keras bernilai RM676.50 dengan anggaran cukai RM1,615.80.
“Keseluruhannya dalam dua serbuan berasingan, kita merampas 253 minuman keras dianggarkan bernilai RM9,537.70 dengan nilai cukai RM12,646.82,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Rizal, siasatan mendapati kedua-dua sindiket mengedar minuman keras tidak bercukai di sekitar Cheras.
“Kita juga merampas tiga kenderaan dan empat telefon bimbit di kedua-dua serbuan tersebut. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM214,637.02.
“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Salak South dan Damansara untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” jelasnya.