GEORGETOWN: Sebelum ini tiga anak Mohd. Asmawi Abdullah, 37, terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit miliknya dan isteri, Siti Nur Masyitah Abdullah, 36, bagi mengikuti
proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Bagaimanapun, semalam, Mohd. Asmawi dapat menarik nafas lega selepas anak-anaknya dapat meneruskan sesi PdPR di rumah mereka di Tanjung Tokong di sini menerusi saluran DidikTV Kementerian Pendidikan (DidikTV KPM).
Mohd. Asmawi berkata, sebelum ini ketiga-tiga anaknya, Mohd Danish Haikal, 14; Siti Nur Damila Atikah, 11 dan Siti Nur Fatihah, 8, perlu berkongsi telefon bimbit untuk mengikuti kelas secara dalam talian.
“Hari ini anak sulung saya, Mohd. Danish Haikal dapat belajar dengan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan melalui DidikTV.
“Saya lihat konsep yang digunakan oleh DidikTV ini dapat menarik perhatian kanak-kanak kerana menggunakan kaedah pembelajaran secara interaktif dan mudah difahami pelajar,” katanya ketika ditemui di Tanjong Tokong, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang mula bersiaran hari ini di NTV7.
Muhyiddin berkata, ia sebagai usaha untuk membolehkan murid-murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen dan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.
Mohd. Asmawi yang bekerja sebagai tukang kayu berkata, dia akan memastikan anak-anaknya lebih peka dengan jadual subjek yang disiarkan di saluran DidikTV selepas ini supaya anak-anaknya tidak terlepas daripada mengikuti sesi PdPR berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Danish Haikal yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bungah berkata, dia baharu sahaja mengetahui mengenai saluran DidikTV hari ini selepas dimaklumkan oleh bapanya.
“Saya sempat mengikuti kelas Bahasa Melayu hari ini di DidikTV, saya rasa belajar di sini lebih mudah untuk saya faham berbanding belajar di telefon bimbit,” katanya. – UTUSAN ONLINE