Tiada lagi semak samun - Utusan Malaysia

Tiada lagi semak samun

KEADAAN Dewan Serbaguna Pusat Aktiviti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pengkalan Jaya yang sebelum ini semak sudah dibersihkan MBI ketika tinjauan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan segera Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membersihkan semak-samun di pekarangan Dewan Serbaguna Pusat Aktiviti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pengkalan Jaya di sini dipuji penduduk setempat.

Dewan yang berusia lebih 10 tahun itu sebelum ini telah dibaik pulih dan dicat baharu oleh kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dua tahun lalu tetapi kemudian dibiarkan sehingga keadaannya bertukar menjadi tidak terurus.

Seorang penduduk, Mohamad Hairul Jamaluddin, 40, mengucapkan terima kasih kepada petugas pembersihan MBI kerana melakukan kerja-kerja membersih serta memotong rumput yang dilakukan pada minggu lalu.

Katanya, persekitaran dewan itu kini tidak lagi semak dan ditumbuhi lalang yang mencacatkan pandangan seperti sebelumnya.

“Harapan penduduk selepas ini eloklah MBI melantik pihak tertentu untuk menjaga dan menyelenggara dewan ini agar dapat dimanfaatkan oleh komuniti setempat dan tidak menjadi tempat huni anjing liar.

“Sayang sekiranya dewan yang besar dan serba lengkap ini terbiar semula sedangkan ia boleh digunakan bagi pelbagai kegunaan termasuk majlis kenduri kendara dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dewan berkenaan yang mempunyai dua gelanggang badminton sebelum ini juga sering menjadi lokasi masyarakat setempat bersukan dan beriadah.

Utusan Malaysia pada Januari lalu menyiarkan keluhan penduduk setempat yang mahu tindakan segera diambil bagi membersihkan semak-samun di pekarangan dewan ini selain keadaan dewan yang tidak berjaga.

Sementara itu penduduk lain, Fadzir Husain, 45, menyarankan agar dewan itu dijadikan sebagai tempat bagi anak-anak mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi yang mereka tiada capaian internet di rumah

Katanya, untuk itu pihak-pihak berkepentingan seperti Ahli Majlis, wakil parti-parti politik dan syarikat korporat boleh bekerjasama untuk menjayakan perkara tersebut.

“Dewan ini juga letaknya cuma 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh dan kebanyakan anak-anak penduduk di sini bersekolah di situ.

“Penghuni taman perumahan ini pula majoritinya merupakan golongan B40, malah ada kediaman yang tidak mempunyai capaian internet. Jika perkara itu baik untuk masyarakat maka bolehlah dipertimbangkan,” katanya. _UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN