Tiada istilah rehat buat 'penghuni' PKGK - Utusan Malaysia

Tiada istilah rehat buat ‘penghuni’ PKGK

PROGRAM rondaan bergajah antara dilaksanakan di PKGK Kuala Gandah di Lanchang, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Biarpun hampir setahun Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang dekat sini ditutup kepada orang awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, namun tiada istilah rehat buat ‘penghuni’ di situ.

Sejak ditutup, ‘penghuni’ pusat itu yang terdiri daripada 22 gajah dewasa dan 10 anak gajah tidak terbiar.

Ketua Pusat PKGK Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, gajah-gajah di pusat berkenaan secara berterusan menjalani latihan bersama mahut atau penjaga gajah.

“Langkah itu penting untuk kita terus mewujudkan keserasian antara mahut dan gajah berkenaan.

“Latihan-latihan seperti mandi sungai, membuat persembahan diteruskan seperti biasa, boleh dikatakan aktiviti gajah di PKGK adalah berterusan bagi meningkatkan kemahiran haiwan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Khairul Adha berkata, aktiviti lain yang diteruskan ialah rondaan bergajah dengan haiwan berkenaan dibawa berkemah di dalam hutan dua atau tiga malam bersama mahut.

“Biasanya aktiviti rondaan bergajah itu akan melibatkan tiga ke empat ekor gajah setiap kali ia diadakan. Program ini tidak terlalu kerap iaitu hanya dua ke tiga kali dalam sebulan.

“Ini kerana kita mempunyai kekangan masa kerana perlu melaksanakan tugas lain seperti menangkap gajah liar jika menerima aduan,” katannya.

Beliau berkata, dalam tempoh PKGK tidak dibuka, pihaknya memanfaatkan masa dengan melatih gajah denak.

“Sehingga kini, kita ada dua ekor gajah denak yang telah lulus, jadi sekarang kita sedang melatih dua ke tiga ekor lagi gajah untuk dijadikan sebagai gajah denak,” katanya.

Beliau berkata, latihan berterusan penting bagi memastikan haiwan itu sentiasa bersiap sedia menerima kunjungan orang awam apabila pusat berkenaan dibuka kelak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN