PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah mengarahkan penutupan sebarang perkhidmatan hotel termasuk di beberapa buah negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hotel sudah lama boleh beroperasi seperti kebiasaan asalkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
“Jika ada hotel yang menutup operasi mereka, itu disebabkan kurang tempahan daripada pelanggan dan bukan atas arahan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Mingguan Malaysia pada 21 Februari lalu juga menyiarkan wawancara eksklusif Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng mengenai nasib industri perhotelan tempatan.
Dianggarkan kesan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan 100 hotel ditutup dan 20,000 staf diberhentikan selain lebih 20 peratus pekerja dipotong gaji dan 26 peratus bercuti tanpa gaji.
Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri melahirkan kehairanan apabila ada menerima soalan yang bertanya sama ada pihak kerajaan sudah membenarkan hotel di seluruh negara beroperasi.
“Kerajaan tidak pernah mengarahkan hotel ditutup malah ada digunakan sebagai pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia pulang dari luar negara selain petugas barisan hadapan,” katanya.
Bahkan segala premis dalam hotel seperti restoran dan bilik persidangan di kawasan bukan PKP boleh digunakan selagi mematuhi SOP seperti jarak fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Menyentuh dakwaan kononnya perubahan SOP dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai flip-flop atau sela-menyela, beliau menyangkal tanggapan itu sebagai tidak berasas.
“Sebarang keputusan berkaitan SOP ditetapkan mengikut keadaan dan keperluan semasa, bukan flip-flop (sela-menyela) sebab tekanan atau desakan pihak tertentu,” kata Ismail Sabri.
Beliau malah memberi perbandingan antara PKP 2.0 yang dikatakan tidak ketat daripada PKP 1.0 dilaksanakan awal tahun lalu sehingga banyak akvititi ekonomi dan sosial digantung.
Sebaliknya ujar beliau, kelonggaran diberikan itu mengambil kira pelbagai faktor dan menimbang nasib golongan miskin yang perlu meneruskan kehidupan asalkan masih mematuhi SOP.
“Saya percaya jika diteruskan macam PKP 1.0, kemungkinan besar ramai dari kalangan yang berpendapatan kecil akan terjejas teruk apabila banyak aktiviti ekonomi ditutup,” tegasnya.
Ditanya mengenai rayuan pengusaha premis urutan, refleksologi dan rias kuku di negeri yang dikenakan PKP untuk beroperasi kembali, Ismail Sabri berkata, ia sedang dipertimbangkan.
MKN katanya, akan membawa isu itu dalam mesyuarat esok untuk penelitian Kementerian Kesihatan dan jika dipersetujui, beliau sendiri yang akan mengumumkannya pada Khamis ini. -UTUSAN ONLINE