Tiada aduan terhadap perkhidmatan kurier - Utusan Malaysia

Tiada aduan terhadap perkhidmatan kurier

ABDUL Yunus Jamahri (dua dari kanan) bertemu para peniaga semasa melakukan tinjauan dan pemantauan SHMMP Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Besar Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada sebarang aduan diterima pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) negeri Perak berhubung isu ketidakpuasan hati pelanggan atau kelewatan kerja melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, mana-mana pengguna yang ingin membuat tuntutan boleh ke mana-mana pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, pengguna dinasihatkan untuk menyelesaikan isu tersebut dengan pihak perkhidmatan kurier terbabit terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan di TTPM.

“Setakat ini, pihak TTPM negeri Perak belum menerima sebarang tuntutan berkaitan isu ini, mungkin mereka sedang menyelesaikan kes di peringkat syarikat terbabit.

“Seperti mana semua pihak sedia maklum, tuntutan di TTPM merupakan penyelesaian terakhir. Pengguna boleh hadir ke pejabat KPDNHEP di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau di cawangan-cawangan untuk memfailkan tuntutan,” katanya.

Abdul Yunus ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan dan pemantauan SHMMP Musim Perayaan Tahun Baru Cina tahun 2021 di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini.

Turut serta pada tinjauan tersebut ialah Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, Dottie Azlina Ismail.

Baru-baru ini tular satu rakaman dalam media sosial pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan.

Rakaman video berdurasi 15 saat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Susulan video tular tersebut, pihak pengurusan syarikat kurier berkenaan dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Ahad lalu memohon maaf atas tindakan kakitangannya mencampak barang-barang pelanggan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN