Teroka Hutan Simpan Gunung Inas tanam durian Musang King - Utusan Malaysia

Teroka Hutan Simpan Gunung Inas tanam durian Musang King

Malik Arshad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Lebih 4,000 penduduk dari enam buah kampung mendakwa kehidupan mereka semakin terancam selepas projek ladang durian Musang King dibangunkan di Hutan Simpan Gunung Inas, Kupang di sini sejak tahun 2019.

Enam kampung terlibat ialah Kampung Tanjung Nering, Kampung Bok Bak, Kampung Masjid Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Iboi dan Kampung Bukit Iboi.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung  Iboi, Malik Arshad, 57, berkata, projek ladang tersebut memberi kesan terhadap bekalan air bersih kerana empangan yang menyimpan dan menyalurkan air bukit berada di kawasan ladang durian terlibat.

“Sejak lebih 40 tahun lalu, penduduk di sini hanya menggunakan bekalan air masyarakat dari bukit tersebut untuk kegunaan harian dan pertanian.

“Namun kini, kualiti dan kebersihan air dari kawasan itu semakin terjejas dipercayai akibat aktiviti tarahan bukit serta penanaman durian Musang King sejak tahun 2019,” katanya ketika ditemui di Kampung Masjid Iboi di sini, hari ini.

Menurutnya, air sungai yang disalurkan ke kawasan takungan dan tadahan juga didakwa menjadi keruh, lebih-lebih lagi selepas musim hujan.

“Keadaan ini menyebabkan air yang disalurkan ke rumah-rumah penduduk tidak bersih dan keruh,” ujarnya.

Selain itu, beliau mendakwa, masalah banjir juga kerap berlaku sejak akhir-akhir ini kerana keadaan sungai menjadi semakin cetek disebabkan tanah bukit yang ditarah memasuki sungai tersebut.

“Air yang berselut juga akan memasuki petak-petak sawah padi menyebabkan kegiatan penanaman padi tidak lagi dapat dijalankan oleh penduduk kampung,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali mendakwa, projek ini juga didakwa mengganggu hidupan haiwan liar seperti gajah, harimau dan sebagainya sehingga binatang tersebut semakin menghampiri kampung tersebut.

Katanya, kumpulan gajah ini turut merosakkan paip air yang dipasang di kawasan empangan dan penduduk kampung terpaksa mengantikannya dengan paip baharu.

“Menjadi tanda tanya kepada kami mengapa projek tanaman Musang King ini masih diteruskan, sedangkan ianya telah mendatangkan banyak masalah dan bencana kepada penduduk kampung. 

“Kawasan-kawasan riadah seperti Lata Celak serta sungai dan empangan air yang sering dikunjungi orang ramai dan penduduk kampung juga turut terjejas kerana air sungai menjadi cetek dan keruh,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya