Terbang ke Kelantan kerana Mohd. Yazid - Utusan Malaysia

Terbang ke Kelantan kerana Mohd. Yazid

EBIT Liew (dua, kiri) berbincang dengan Mohd Yazid (tengah) bersama dua lagi adik beradiknya mengenai rancangan membina semula rumah mereka yang musnah terbakar di Kampung Pangkalan Nangka, Kota Bharu petang ini. Foto ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew ‘terbang’ ke negeri ini hari ini untuk bertemu pemuda buta, Mohd. Yazid Mohd. Nor selepas kisahnya duduk termenung di tangga rumah pusaka yang musnah terbakar semalam tular di media sosial.

Mohd. Yazid, 30, bersama dua abangnya, Fakhru Razi, 36, dan Khairuzaman, 39, tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian di Kampung Pengkalan Nangka, di sini kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Ebit Liew yang tiba lewat petang ini seterusnya membawa berita gembira kepada tiga beradik itu, iaitu bersedia membantu membina semula rumah mereka yang musnah dengan anggaran kos sebanyak RM70,000.

Usahawan dermawan itu juga menyumbangkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss bagi menggantikan motosikal roda tiga mereka yang turut hangus terbakar dalam kejadian terbabit.

Menurut Ebit Lew, beliau berharap motosikal yang diberikan dapat dimanfaatkan tiga beradik tersebut untuk meneruskan pekerjaan mereka sebelum ini iaitu mengambil upah memotong rumput.

“Saya tersentuh melihat gambar Mohd.Yazid termenung di tangga rumahnya yang musnah dalam kebakaran, dan terus bergegas ke Kota Bharu.

“Selepas bertemu dan berbincang keperluan tiga beradik itu, saya memutuskan untuk membantu membina semula rumah mereka yang hangus terbakar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Ebit Lew yang turut bersama-sama menaiki jentolak ketika kerja-kerja membersih sisa kebakaran dalam pada itu berkata, projek pembinaan semula rumah terbabit dijangka bermula esok.

“Seorang kontraktor telah dilantik untuk mengendalikan projek membina sebuah rumah dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air untuk keselesaan tiga beradik ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN