Tempoh daftar vaksin Covid-19 tidak ditutup - Utusan Malaysia

Tempoh daftar vaksin Covid-19 tidak ditutup

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tempoh pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tidak akan ditutup dan orang ramai boleh membuat pendaftaran bermula 1 Mac ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pendaftaran itu akan berlangsung sehingga mencapai sasaran pemberian vaksin kepada  70 hingga 80 peratus dalam kalangan rakyat negara ini. 

“Tempoh pendaftaran adalah terbuka, tidak akan ditutup sehingga selesai sasaran 70-80 peratus rakyat divaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena acara ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu terdapat  lima kaedah pendaftaran ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mempermudahkan orang ramai untuk mendaftar melalui pelbagai saluran.

Antara lima kaedah pendaftaran itu adalah melalui MySejahtera, laman sesawang, telefon dan mengenal pasti kumpulan sasar.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pada masa ini keputusan kerajaan kekal dengan polisi dua dos suntikan vaksin Pfizer-Biontech akan diberikan kepada rakyat negara ini walaupun terdapat perkembangan baharu bahawa vaksin berkenaan mempunyai tahap keberkesanan 85 peratus hanya melalui satu dos suntikan.

Katanya, suntikan kedua akan diberikan selepas 21 hari suntikan pertama.

Beliau menjelaskan, kerajaan juga belum membuat apa-apa keputusan untuk mewajibkan suntikan vaksin dan ia merupakan tindakan sukarela oleh rakyat.  

“Namun, jika tidak ramai yang mendaftar untuk penerimaan vaksin ini mungkin ada polisi lain yang akan dibuat kerajaan yang dibincangkan kemudian,” katanya. 

Sementara itu, Khairy berkata, mesyuarat jemaah menteri turut memutuskan pemberian skim khas untuk memberikan perlindungan kepada mereka yang menerima vaksin jika terdapat kesan sampingan serius.

Skim khas itu katanya melibatkan pembayaran ex-gratia kepada individu yang mempunyai kesan sampingan langsung akibat suntikan vaksin itu.

“Pengumuman berhubung skim itu akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya