Tedung selar disangka getah paip - Utusan Malaysia

Tedung selar disangka getah paip

ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar sepanjang 4.5 meter yang menceroboh dapur sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, Gua Musang hari ini. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pemilik kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, di sini nyaris menjadi mangsa ular tedung selar sepanjang 4.5 meter yang disangkakan getah paip di dapur premisnya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, lelaki berusia 41 tahun terbabit sedang mengemas bahagian dapur dan ternampak objek panjang menjalar seakan-akan getah paip di ruangan tersebut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, ketika mahu mencapainya, lelaki itu terkejut melihat ‘getah paip’ terbabit bergerak lalu berlari keluar menyelamatkan diri.

“Selepas menerima panggilan kecemasan, seramai tiga anggota APM bergegas ke lokasi dan mendapati ular itu masih berada di ruangan dapur kedai.

“Anggota kami berjaya menangkap ular itu dalam masa 20 minit menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mohd. Yussalmi berkata, reptilia berbisa itu dipercayai keluar dari semak berhampiran dan masuk ke dapur kedai terbabit untuk mencari makanan.

“Ular seberat 15 kilogram yang berjaya ditangkap itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya