TBC: 7 notis kawalan harga, anti-pencatutan dikeluarkan di Melaka - Utusan Malaysia

TBC: 7 notis kawalan harga, anti-pencatutan dikeluarkan di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak tujuh notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti-pencatutan 2011 telah dikeluarkan di Melaka sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina (TBC) yang berakhir pada 16 Februari 2021 yang lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, adalah menjadi tanggungjawab KPDNHEP Melaka dalam memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan keperluan terutamanya sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP.

“KPDNHEP Melaka melalui Seksyen Penguatkuasa menjalankan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan dan bekalan makanan di pasaran sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan setiap pengguna di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Norena turut memaklumkan, sejak 1 Januari hingga 18 Februari 2021, sebanyak 3,748 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong, pengilang dan peladang.

Katanya, selain itu, KPDNHEP negeri telah menerima sebanyak 85 aduan rasmi, iaitu secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

Jelasnya lagi, sehingga semalam, sebanyak 32 kes telah diambil tindakan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM15,781.15 yang terdiri dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan pihaknya.

“Sebanyak RM3,100 kompaun telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti-pencatutan 2011 serta Akta Timbang Sukat 1972.

“Pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya