Tanaman rosak, ternakan mati dalam banjir akibat pembentung rosak - Utusan Malaysia

Tanaman rosak, ternakan mati dalam banjir akibat pembentung rosak

PENDUDUK menunjukkan pembentung pembuang air yang rosak yang menjadi punca kejadian banjir di Chenderung Balai baru-baru ini ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Ara dekat sini semalam. - PEMBERITA dan GAMBAR: AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kerosakan pembentung pembuang air menyebabkan aliran air dari sungai berdekatan masuk ke kawasan tanah yang diusahakan penduduk dengan tanaman dan sayur serta ternakan.

Itu yang dialami penduduk di Kampung Pengkalan Ara di Chenderong Balai dekat sini apabila pembentung pembuang air di Parit 5 di kawasan mereka tidak dapat menghalang aliran air sungai daripada memasuki kawasan pertanian dan ternakan yang mereka usahakan dalam kejadian banjir baru-baru ini.

Akibat kerosakan pembentung berkenaan, air dari Sungai Kinta dan Sungai Keroh masuk sehingga menjejaskan kawasan pertanian penduduk.

Penduduk di situ mengusahakan tanaman nanas, sayur-sayuran, kelapa sawit dan tapak semaian pokok limau serta ternakan.

Aliran air yang masuk ke kawasan tersebut semasa banjir baru-baru ini, mengakibatkan ada penternak lembu yang kematian dan kehilangan ternakannya.

Seorang petani, Zakaria Saadin ,65, berkata, air banjir memasuki kawasan ladang yang diusahakan penduduk disebabkan pintu pada pembentung pembuang air yang rosak.

Menurutnya, sepatutnya pintu air berkenaan secara automatik akan tertutup jika paras air melepasi tahap tinggi.

“Kesan banjir yang melanda kawasan ini baru-baru ini masih terasa kerana masih ada air yang bertakung sehingga ke hari ini juga merosakan tanaman yang diusahakan penduduk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, banjir yang berpunca daripada kerosakan pembentung pembuang air menyebabkan itik yang diternaknya terlepas sebanyak beberapa ratus ekor.

Katanya, tanaman kontan lain seperti nanas yang sedang membesar pokoknya menjadi busuk akibat terendam lama dalam air manakala sayur-sayuran, tandan sawit menjadi busuk kerana tidak dapat dituai atau dikeluarkan dari kebun.

“Ini sudah tentunya menjejaskan sumber pendapatan kami yang bergantung sepenuhnya kepada sumber pertanian.

“Masalah ini pernah diajukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ada pegawai yang datang tetapi hanya melihat keadaan kerosakan pembentung tetapi sehingga hari ini kerosakan ini tidak diperbaiki,” katanya.

Penternak lembu, Abdul Rahman Hasan, 69, berkata, tujuh daripada 40 ternakannya mati selepas tidak dapat diselamatkan dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Ada yang mati akibat lemas, ada juga yang hilang dihanyutkan banjir dan kemudiannya hanya bangkai sahaja yang ditemukan kemudiannya. Ternakan yang selamat saya pindahkan ke kawasan yang lebih tinggi.

“Saya harap tidak berlaku banjir lagi dan berharap pihak berkenaan segera membaiki atau menggantikan kerosakan pada pembentung pembuang air di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN