Tambah RM5 bilion lagi untuk ujian saringan, vaksin Covid-19 - Shafie Apdal - Utusan Malaysia

Tambah RM5 bilion lagi untuk ujian saringan, vaksin Covid-19 – Shafie Apdal

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menggesa kerajaan menambah RM5 bilion lagi untuk memperluas ujian saringan, penjejak kontak dan pemvaksinan Covid-19 bagi menyelamatkan ekonomi negara.

Beliau berkata, gesaan itu adalah berdasarkan kajian terbaru yang menunjukkan bahawa sebab utama merudumnya aktiviti ekonomi ketika wabak Covid-19 menular adalah kebimbangan jangkitan, yang seterusnya mengehadkan pergerakan orang ramai dan memberi kesan buruk kepada aktiviti ekonomi.

Katanya, ia boleh dibuktikan dengan anggaran Kementerian Kewangan yang meletakkan kos Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada kadar RM600 juta sehari sekali gus menyebabkan negara telah pun mengumpul kerugian sebanyak RM8.5 bilion, atau 0.05% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Oleh yang demikian, satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi ialah dengan membendung serta mengawal wabak ini. Mengambil pengajaran daripada negara-negara lain, satu-satunya cara untuk melakukan ini ialah melalui ujian saringan dan penjejakan kontak yang komprehensif, sebelum pemvaksinan dijalankan.

“Jika PKP dilanjutkan beberapa minggu lagi, kita akan menyaksikan KDNK tahun ini menyusut teruk. Acara PKP berganti-ganti ini adalah tidak baik untuk ekonomi, terutamanya apabila wujud beberapa pilihan lain dalam membendung wabak ini,” katanya dalam kenyataan.

Shafie juga menganggap kerajaan tidak boleh terlalu berjimat dalam membendung wabak Covid-19 ketika ini.

“Ekonomi tidak akan pulih sehinggalah wabak ini berjaya dibendung, maka pelaburan ke atas kapasiti saringan dan penjejakan serta pemvaksinan adalah cara terbaik untuk kerajaan membantu ekonomi. Pakej Permai yang baru sahaja diumumkan membolehkan lantikan petugas barisan hadapan tambahan dan penggunaan kapasiti hospital swasta, tetapi langkah-langkah itu mungkin tidak begitu berjaya,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu juga menjelaskan beliau mahu memperluas ujian saringan Covid-19 kerana kadar ujian positif kekal tinggi pada enam peratus awal tahun ini berbanding kadar terkawal lima peratus, menunjukkan bahawa banyak lagi kes positif tidak ditemui akibat kurangnya ujian saringan.

“Kita perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 360,000 orang disaring setiap hari, berbanding 64,000 hari ini. Mengekalkan tahap saringan sebegini untuk tempoh 60 hari akan menelan belanja tambahan RM2.5 bilion,” katanya.

Shafie juga berpandangan tambahan ujian saringan tidak mencukupi tanpa menambah kapasiti penjejakan dan pemantauan, serta penambahan petugas barisan hadapan.

“Penularan di bandar Daegu, Korea Selatan, dengan populasi seramai 2.4 juta orang, berjaya dibendung selepas 2,400 petugas kesihatan tambahan dilantik. Jika diterjemahkan ke Malaysia, ini bermakna kita perlu melantik 33,000 petugas tambahan. Sebagai perbandingan, pakej Permai membuat lantikan tambahan seramai 3,500 orang sahaja, kurang hampir sepuluh kali ganda,” katanya.

Justeru, Shafie berkata langkah pemvaksinan yang pantas dan komprehensif adalah sangat penting supaya wabak Covid-19 benar-benar berada dalam keadaan terkawal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN