Taktik tanam syabu dalam tanah tak menjadi - Utusan Malaysia

Taktik tanam syabu dalam tanah tak menjadi

SEBAHAGIAN daripada paket-paket syabu yang dirampas polis dalam serbuan di di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong, Pasir Mas pada Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Taktik dua lelaki menanam peket-peket kecil syabu di dalam tanah di bawah bangsal gagal apabila dadah tersebut berjaya dikesan polis dalam serbuan di Kampung Serai Lima, Lubok Jong, di sini Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 11 malam tersebut, polis berjaya merampas 1.4 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM210,030 dan menahan dua suspek berkenaan yang berusia 30 serta 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, polis pada mulanya menjumpai lapan peket syabu yang disorokkan di celah periuk yang disusun di kabinet dapur sebuah rumah.

Susulan itu, katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan lebih banyak peket-peket syabu lain yang ditanam di dalam tanah di bawah sebuah bangsal berhampiran rumah terbabit.

“Rampasan keseluruhan peket-peket syabu itu dianggarkan berjumlah 1.2 kilogram dan melibatkan nilai RM210,030.

“Hasil saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai sudah lama aktif dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Pasir Mas.

Katanya, suspek berusia 36 tahun mempunyai 12 rekod lampau berkait dengan dadah dan satu kes melibatkan senjata api.

“Sebuah kereta dari jenis Perodua Viva turut disita dalam serbuan tersebut,” ujarnya.

Dalam serbuan berasingan pada hari sama, Mohamad Roy Suhaimi berkata, pihaknya turut merampas syabu seberat 44 gram dan 20 biji pil yaba bernilai RM4,600 selepas menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di tepi jalan Kampung Lemal, di sini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN