‘Tak sangka hari ini ada roadblock’ - Utusan Malaysia

‘Tak sangka hari ini ada roadblock’

Peniaga dikompaun selepas gagal mengemukakan surat rentas daerah ketika melalui SJR mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong, Pasir Mas hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Peniaga sayur dikompaun RM1,000 kerana gagal mengemukakan surat kebenaran rentas daerah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) secara mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini hari ini.

Lelaki berusia 27 tahun itu yang berulang alik dari daerah ini ke Kota Bharu mengakui, gara-gara tiada SJR di laluan tersebut sebelum ini, dia bersikap ambil mudah dan tidak pernah memohon surat kebenaran rentas daerah.

“Ini laluan utama saya untuk ke tempat kerja di pasar basah Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong setiap hari. Saya guna jalan ini kerana tiada SJR, selain dekat dengan kawasan rumah yang terletak di Bunut Susu.

“Hari ini tak sangka ada roadblock pula. Nak patah balik dah tak boleh, sebab atas jambatan. Jadi terpaksa lalu jugalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lelaki itu berharap orang ramai menjadikan kisahnya sebagai pengajaran dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan terutama ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisoner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata pihaknya akan melakukan lebih banyak SJR secara mengejut di kawasan sempadan daerah sepanjang PKP yang kini memasuki fasa lanjutan sehingga 18 Februari depan.

Dalam masa sama tambah beliau, SJR statik atau kekal yang diadakan di laluan utama ketika ini akan diteruskan seperti biasa sehingga PKP berakhir.

“SJR mengejut ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai, tetapi salah satu usaha menggalakkan semua pihak mematuhi SOP dalam tempoh PKP 2.0,” katanya.

Mohamad Roy memberitahu, sepanjang operasi itu, sebanyak 16 kompaun berkait pelanggaran SOP telah dikeluarkan dengan kebanyakan kesalahan membabitkan kegagalan orang awam mengemukakan surat pelepasan rentas daerah.

“Sikap ambil mudah terhadap surat rentas daerah boleh menyebabkan anda dikompaun. Nasihat saya, dapatkan surat rentas daerah jika mempunyai sebarang urusan dan polis sedia memberikan kerjasama,” katanya.

Sejak PKP 2.0 bermula pada 16 Januari lalu hingga hari ini sebanyak 159 kompuan telah dikeluarkan di seluruh daerah ini berkait dengan kesalahan pelanggaran SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN