'Tahi' mesin padi undang bahaya - Utusan Malaysia

‘Tahi’ mesin padi undang bahaya

ANGGOTA JPJ membuat pemantauan mesin padi yang mencemarkan jalan raya dengan sisa lumpur di Kampung Sungai Padang,Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sikap tidak bertanggungjawab pemandu atau pengusaha mesin padi yang mengguna dan mencemarkan jalan raya dengan sisa lumpur atau lebih dikenali sebagai ’tahi mesin padi’ boleh mengundang bahaya kepada pengguna terutama membabitkan penunggang motosikal. 

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, tindakan tidak bertanggungjawab dan sikap mementingkan diri itu boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya yang tidak sempat mengelak sisa lumpur yang mengeras di atas jalan raya.

Katanya, pengusaha yang membiarkan sisa lumpur di atas jalan tanpa membersihkannya semula menunjukkan sikap mereka yang mahukan keuntungan semata-mata dan seolah-olah mencabar pihak penguat kuasa.

“Isu pencemaran lumpur daripada mesin padi di atas jalan raya di negeri ini telah lama dan bermusim yang tiada berkesudahan. Ini ekoran tiada kerjasama daripada pelbagai pihak di dalam industri pertanian ini. 

“Bagi menangani masalah sikap pengusaha mesin padi ini juga, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatan kuasa Pengangkutan negeri, Hamizan Hassan telah mengadakan menyuarat bagi menangani masalah ini.

“Mesyuarat ini turut disertai JPJ, polis, Jabatan Kerja Raja (JKR), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan agensi berkaitan industri pertanian seperti  Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) ,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, masalah tersebut juga mendapat perhatian serius dan diperdebatkan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Sementara itu,tegasnya, JPJ tidak teragak-agak mengeluarkan saman kepada pemandu dan pengusaha mesin padi ini sekiranya mereka menggunakan jalan raya bagi kesalahan menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan dibawah Seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan boleh dikenakan hukuman tidak kurang RM2,000 sehingga RM10,000

“Selain itu, pemandu mesin padi juga boleh dikenakan tindakan menggunakan jalan terhad , tiada lesen memandu kelas I( jentera berat berantai) dan gagal selenggara kenderaan dengan baik dan selamat di atas jalan  raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pada musim pagi kali ini, kami belum lagi mengeluarkan saman, namun peringatan telah diberikan pengusaha mesin padi semasa operasi yang dibuat baru-baru ini,” ujarnya.

Sementara itu, Fatimah menyeru pihak yang terlibat serta masyarakat di negeri ini bersama-sama menjaga kebersihan dan keindahan Perlis daripada pencemaran serta kekotoran lumpur sawah  bagi menjamin keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN