Syurga beli-belah Padang Besar sunyi sepi - Utusan Malaysia

Syurga beli-belah Padang Besar sunyi sepi

SEORANG peniaga warga emas, Zaleha Awang,58, terus setia menanti pelanggan meskipun pernah pulang dengan tangan kosong sebelum ini di arkeb niaga Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Lazimnya arked niaga Padang Besar di sini terutama pada cuti hujung minggu penuh sesak dengan peniaga ‘senang-senang’ memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sehari.

Namun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira sebulan lalu,
pemandangan dan suasana di pusat setempat yang terkenal dengan julukan syurga beli-belah itu lengang dan sunyi sepi meskipun pelbagai sektor perniagaan termasuk pakaian dibenarkan beroperasi.

Nasib peniaga pula semakin kabur malah ada dalam kalangan mereka yang datang seawal pagi namun kecewa apabila pulang dengan tangan kosong pada sebelah petangnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di arked tersebut mendapati suasana cukup lengang dan sunyi sepi dengan beberapa peniaga yang ada hanya mampu ‘termenung’ setia menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba.

Difahamkan sekitar enam sehingga 10 kedai di arked tersebut yang masih dibuka manakala selebihnya iaitu hampir 200 premis di situ masih tidak beroperasi.

Seorang peniaga, Zaleha Awang, 58, yang menjalankan perniagaan barangan kering, makanan dan pakaian tetap membuka perniagaan meskipun dia pernah pulang dengan tangan kosong sebelum ini.

Luah Zaleha, sejak pelaksanaan PKP, dia masih meneruskan perniagaan demi mencari rezeki meskipun sedar pelanggan tidak ramai.

Kata ibu kepada dua orang anak itu, sehari jika dapat RM20 hingga RM30 sudah cukup baginya yang sama sekali tidak berputus asa berdepan situasi getir itu.

“Perniagaan terjejas teruk terutama sejak PKP. Sehari hendak dapat RM10 pun susah dengan pelanggan tidak ada dan suasana pula sunyi sepi. Hanya beberapa kedai yang buka ketika ini.

“Mahu tidak mahu, saya perlu berniaga dalam mencari rezeki. Dahulu, khususnya pada cuti hujung minggu pendapatan sehingga ratusan ringgit sehari sekarang kalau dapat RM20 atau RM30 sudah cukup baik,” katanya yang berniaga sejak 20 tahun lalu.

Seorang peniaga kasut, Anuar Ikram Shabri, 28, pula berkata, dia mencari inisiatif lain dengan turut berniaga secara dalam talian bagi menambah pendapatan.

“Meskipun banyak perniagaan dibenarkan namun orang masih tidak ramai khususnya dalam tempoh PKP ini. Malah pada cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini juga suasana lengang dan sepi. Dahulu Padang Besar cukup rancak, sekarang suasana sudah tidak sama.

“Kami berharap pandemik Covid-19 segera berakhir bagi membolehkan Padang Besar kembali bernyawa dan peniaga memperoleh pendapatan seperti dulu,” katanya.

Bagi seorang peniaga jersi, Suhairul Ismail,25, yang ditemui di sini turut meluahkan rasa sama apabila dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sehari, sekarang hendak dapat RM100 cukup sukar namun dia bernasib baik apabila perniagaan dalam talian banyak membantu.

Selain para peniaga di arked tersebut, peniaga makanan di kawasan sekitar juga berdepan nasib sama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN