PORT DICKSON: Seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat memecahkan cermin kenderaan di sekitar daerah ini dengan batu bata sejak seminggu lalu ditahan polis di Jalan Kemuning dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 3.50 petang oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan khianat pecah cermin kenderaan di sekitar daerah Port Dickson.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas tiga motosikal bersama anak kunci, topi keledar dan pakaian yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah di sebuah bengkel di Batu 9, Teluk Kemang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis percaya dapat menyelesaikan kejadian kes pecah cermin kenderaan dibaling batu bata yang berlaku sejak seminggu lalu di sekitar daerah Port Dickson.
“Siasatan awal pihak polis mendapati, suspek bergerak secara solo dan aktif sekitar kawasan taman perumahan di Port Dickson, Teluk Kemang dan Lukut.
“Batu bata yang digunakan pula dikutip oleh suspek sendiri di tepi jalan sekitar tempat kejadian,” katanya.
Aidi Sham berkata, setakat ini pihak polis telah menerima 18 laporan polis berkaitan kejadian khianat pecah cermin kenderaan dengan menggunakan batu bata dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian.
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dan bebas daripada pengaruh dadah.
“Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kesalahan curi,” katanya.
Tambah beliau, siasatan ke atas suspek dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang kejadian jenayah kepada pihak polis agar tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.