MELAKA: “Saya sedia ditahan dan dihadapkan ke mahkamah”.
Itu luahan hari seorang nelayan dari Pantai Puteri dekat sini yang menangkap ikan tanpa lesen daripada Jabatan Perikanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Laham berkata, rata-rata nelayan yang senasib dengannya tidak mempedulikan langsung amaran daripada Jabatan Perikanan, sebaliknya tetap turun ke laut walaupun tidak mempunyai lesen.
“Tiga kali permohonan saya untuk mendapatkan lesen ditolak oleh Jabatan Perikanan atas alasan kuota sudah penuh di Pantai Puteri. Saya terpaksa ingkar arahan itu kerana hendak mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
“Saya perlu sara tiga anak dan isteri yang tidak bekerja. Apa lagi yang saya mampu lakukan melainkan menjadi nelayan. Tidak kisahlah Jabatan Perikanan tidak luluskan lesen saya walau tiga kali dipohon,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mat Laham turut menegaskan, alasan yang diberikan bahawa kuota sudah mencukupi adalah tidak logik.
Ini kerana, jelasnya, ada segelintir nelayan yang memiliki lesen tidak turun ke laut lebih daripada tiga bulan dan ada juga menyewakannya kepada orang lain.
Ia dilakukan semata-mata demi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 dan peruntukan subsidi minyak petrol.
“Sepatutnya, Jabatan Perikanan wajar mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab dengan menarik balik lesen mereka. Kekosongan itu wajar diberikan kepada mereka yang benar-benar bekerja sepenuh masa sebagai nelayan seperti saya.
“Bukan saya sahaja permohonan lesen ditolak, malah, ramai lagi nelayan mengalami nasib yang sama. Begitu juga nelayan dari Kampung Balik Bukit dekat sini yang rata-ratanya bergantung punca rezeki di laut.
“Walaupun mereka ini tidak ada lesen, mereka tetap turun ke laut menangkap ikan. Tidak kisahlah tidak dapat elaun sara hidup atau subsidi petrol yang penting mencari wang untuk kelangsungan hidup demi menyara isteri dan anak-anak,” luahnya dengan nada kesal. -UTUSAN ONLINE