JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Johor menghargai penglibatan dan peranan masyarakat Cina dalam membangunkan negeri ini sejak awal zaman Kesultanan Johor bermula abad ke-16.
Baginda memberi penghormatan kepada masyarakat Cina yang turut bersama-sama bekerja keras dalam membantu membangunkan serta memodenkan Johor.
Di samping menggambarkan masyarakat Cina sebagai antara ‘tiang ekonomi Johor’, Sultan Johor bertitah, sumbangan mereka yang luar biasa perlu diiktiraf.
“Masyarakat Cina diundang ke Johor sebagai ‘tetamu’ pada zaman nenek moyang saya bagi bersama-sama membantu mengembangkan negeri dan bukannya dilihat sebagai ‘pendatang’.
“Nenek moyang saya mempunyai pandangan jauh untuk menjalin hubungan yang unik dengan masyarakat Cina,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Royal Press Office sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Tegas Sultan Ibrahim, masyarakat Cina juga adalah bangsa Johor sama seperti orang Melayu, India dan lain-lain yang semuanya adalah rakyat Malaysia.
Menyingkap sejarah kedatangan masyarakat Cina, baginda bertitah, Temenggong Daeng Ibrahim adalah individu pertama mengundang orang Cina dari China untuk datang ke Johor pada 1844 bagi membantu membuka ladang gambir dan lada hitam secara besar-besaran.
“Sejak itu, masyarakat Cina membantu meletakkan Johor di persada antarabangsa pada 1850 sebagai pengeluar lada hitam dan gambir terbesar dengan aktiviti hiliran yang aktif seperti penyamakan kulit dan mewarnakan kain menggunakan gambir,” titah Sultan Ibrahim.
Titah baginda, Kesultanan Johor dan masyarakat Cina mempunyai hubungan yang istimewa dan memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor. – UTUSAN ONLINE