Suami warden Henry Gurney pula positif syabu - Utusan Malaysia

Suami warden Henry Gurney pula positif syabu

SUAMI kepada warden wanita Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas, Melaka yang ditangkap Isnin lalu turut ditahan polis selepas didapati turut positif dadah jenis Syabu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menahan suami kepada warden wanita Sekolah Henry Gurney (SHG) di sini yang ditangkap Isnin lalu selepas didapati turut positif dadah jenis Syabu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Balai Polis Tengkera di sini.

“Suami wanita berkenaan ditahan di Balai Polis Tengkera susulan tangkapan isterinya dan hasil ujian saringan air kencingnya turut didapati positif syabu. 

“Kita akan membuat permohonan reman esok di Mahkamah Melaka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Balai Polis Melaka Tengah.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis mengesahkan seorang warden wanita di SHG telah ‘diheret’ oleh penyelianya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum ditahan selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Syabu.

Warden yang juga ibu kepada lapan orang anak berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.15 malam di IPD berkenaan, Isnin lalu.

Jelas Zulkiflee lagi, hasil soal siasat mendapati, lelaki berkenaan yang kini menganggur mengakui telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 17 tahun lalu. 

“Suspek yang turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah juga dipercayai mempengaruhi isterinya mengambil dadah sejak lima tahun lalu.

“Setakat ini pihak polis masih menyiasat pembabitan individu lain termasuk pembekal dadah kepada pasangan berkenaan,” katanya

Suspek disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Tambahnya lagi, susulan tangkapan itu, polis telah membebaskan isterinya dengan jaminan polis ekoran pasangan itu mempunyai tujuh anak berusia antara 13 tahun hingga empat bulan yang perlu dijaga. 

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 5 petang tadi atas sifat kemanusiaan polis kerana dia mempunyai anak-anak yang masih kecil termasuk bayi berusia empat bulan untuk dijaga.

“Bagaimanapun, kita akan meneruskan prosedur mengikut peruntukan undang-undang,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya