JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan nasi lemak Ateyh Fried Chicken di Taman Nong Chik, di sini mengambil inisiatif memberi makanan percuma kepada golongan memerlukan.
Pemilik perniagaan itu, Mohammad Atif Wan Kamal, 27, dan isterinya, Siti Nazirah Norzri, 24, memberitahu, hasrat itu bermula selepas melihat idola mereka iaitu pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew yang sering membantu orang ramai.
Jelas Siti Nazirah, idea itu timbul selepas satu kejadian yang berlaku Khamis lalu apabila seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an meminta makanan untuk dirinya dan seorang anak.
“Sebelum ini, kami memang memberikan ayam goreng percuma kepada ibu mengandung dan individu yang menyambut hari lahir di kedai kami, namun, selepas kejadian itu, kami bercadang untuk memberi makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
“Kami juga akan meneruskan sumbangan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan sepanjang kedai ini beroperasi,” katanya ketika ditemui di kedai milik mereka di Larkin, di sini hari ini.
Siti Nazirah berkata, dia dan suami berasa tenang apabila dapat membantu individu memerlukan walaupun hanya dengan memberi mereka makanan untuk mengisi perut yang lapar.
“Saya nak bantu dari segi wang ringgit tidak mampu, tetapi jika makanan, Insha-Allah! saya boleh beri,” ujarnya yang memiliki dua orang anak masing-masing berusia empat dan tiga tahun.
Kedai milik mereka mula tular dalam media sosial baru-baru ini selepas mereka ‘mengajak’ golongan memerlukan untuk datang dan menikmati juadah secara percuma.
Sementara itu, ujar Mohammad Atif, mereka juga terpanggil untuk berkongsi rezeki tersebut dengan golongan kurang bernasib baik lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 menular.
“Kami sedar ramai golongan yang terjejas pendapatan mereka akibat pandemik ini, malah, individu yang meminta makanan itu juga kehilangan kerja di sebuah pasar di Skudai.
“Jadi, bemula dari situ, kami bercadang untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan yang datang ke kedai kami,” ujarnya yang turut menyumbang sebanyak 50 bungkus nasi lemak kepada gelandangan di bandar raya ini pada setiap Jumaat sejak Oktober tahun lalu.
Tambah Mohammad Atif, dia percaya dengan berkongsi rezeki, maka, rezeki mereka juga akan bertambah dan dipermudahkan. -UTUSAN ONLINE