Suami isteri biak latok secara komersial - Utusan Malaysia

Suami isteri biak latok secara komersial

FATIMAH Salleh dan Abdul Samad Idris menunjukkan latok yang diternak mereka secara komersial di Lukut, Port Dickson.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kesukaran untuk mendapatkan bekalan latok segar untuk pelanggan di dua buah restoran milik mereka di Kepong dan Shah Alam, sepasang suami isteri mula mengusahakan kolam pembiakan latok seluas 0.4 hektar di Lukut dekat sini, sejak tahun lalu.

Fatimah Salleh, 38 yang berasal dari Semporna, Sabah dan suaminya, Abdul Samad Idris, 44, sebelum ini terpaksa mencari pembekal latok dari Semporna dan dari beberapa buah negara seperti Jepun, Filipina, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Kami mengalami kesukaran mendapatkan bekalan latok dan terpaksa pula mengimport latok dari luar negara. Kami kemudian mengambil pendekatan membiak latok secara komersial di sini sejak tahun lalu.

“Kami mempunyai dua buah restoran iaitu Ikan Bakar Semporna di Shah Alam dan Kepong yang kedua-duanya menghidangkan latok sebagai menu utama kepada pelanggan yang singgah ke situ,” kata Fatimah kepada pemberita semalam.

Menurutnya lagi, sejak setahun lalu, ternakan latoknya mampu menjana jualan sebanyak RM1 juta dan boleh menghasilkan kira-kira dua tan latok sebulan. 

“Saya mempunyai 15 kolam dan kami memerlukan 50 hingga 70 lagi kolam takungan untuk tambahan ternakan latok bagi menampung permintaan di seluruh negara. 

“Saya juga tidak boleh menerima banyak tempahan luar kerana dua restoran saya memerlukan 30 kilogram latok sehari untuk pelanggan dan pada hujung minggu pula sebanyak 30 kilogram latok digunakan untuk restoran,” katanya.

Fatimah memberitahu, penternakan latok hanya ada di beberapa lokasi sesuai untuk penanaman latok iaitu seperti di Langkawi, Johor, Melaka dan Port Dickson.

“Kami menanam latok menggunakan air laut dengan proses pembiakan di dalam kolam buatan. Jika ada yang bertanya sama ada sukar atau tidak, ia agak mudah kerana hanya memerlukan suhu sesuai dan juga air laut yang bersih kerana ia mudah rosak jika air laut kotor.

“Hanya selepas enam bulan baru kami mengetahui cara pembiakan latok dengan berkesan selepas beberapa eksperimen dilakukan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan juga turut membantu bagi mencari lokasi sesuai untuk menternak latok di negeri ini. 

“Apabila melihat kawasan pantai Port Dickson, memang tidak sesuai untuk pembiakan latok, kami pernah ke Terengganu, namun, tidak juga sesuai kerana ombak yang kuat. Latok hanya sesuai jika kawasan tersebut dikelilingi pulau seperti di perairan Sabah,” katanya. 

“Latok yang dihasilkan di sini lebih organik dengan lapan sentimeter panjang kerana kami menggunakan 100 peratus air laut, tidak berbau, tidak berlendir dan halal,” katanya yang turut memberitahu bakal menembusi pasaran Singapura dan Brunei tidak lama lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN