KEMAMAN: Tekanan hidup akibat kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 pada Jun tahun lalu mendorong seorang suami dari Kemasik di sini terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Lelaki berusia 31 tahun yang mendirikan perkahwinan sejak lebih setahun lalu itu mengakui mula menagih dadah jenis syabu kira-kira lapan bulan lalu selepas diperkenalkan rakannya.
Lulusan diploma kejuruteraan mekanikal berasal dari Setiu itu merupakan antara tiga yang ditahan polis setelah cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Jalan Kerteh-Kampung Chabang di sini semalam.
Suspek yang sebelum ini berkhidmat di sebuah syarikat swasta berkata, kontraknya tidak disambung berikutan pandemik Covid-19 dan keadaan itu menyebabkan dia makin terhimpit kerana komitmen bulanan yang tinggi hampir mencecah RM2,000 bagi perbelanjaan kereta dan rumah.
Dia yang baru lima hari bekerja sebagai penghantar perkhidmatan kurier secara sambilan pernah cuba berhenti daripada mengambil barangan terlarang tersebut selepas tembelangnya diketahui isteri, namun hingga kini masih gagal.
“Mula-mula sekadar mencuba dengan harapan untuk melupakan seketika masalah yang ditanggung.
“Rasa gian untuk menagih biasanya datang apabila ada masa terluang dan sunyi, tetapi, perbuatan itu tidak berlaku jika saya dalam kesibukan,” katanya yang belum dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui satu bungkusan plastik yang mengandungi dadah jenis syabu dan peralatan untuk menghisap dadah.
Katanya, suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dari arah Kertih menuju ke Kampung Chabang untuk menghantar barang pesanan itu, ditahan selepas kejar-mengejar hampir dua kilometer dari lokasi sekatan jalan raya.
“Ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Hanyan berkata, polis turut menahan dua lagi lelaki yang berusia 32 dan 42 tahun kerana memiliki dadah jenis syabu dan pil kuda, dengan ketiga-tiga mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE