PUTRAJAYA: Umat Islam di seluruh negara dijangka dapat mengetahui status sebenar mengenai Agama Melayu sama ada ajaran tersebut diharamkan atau bukan bertaraf sesat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara itu sudah pun dibincangkan semua mufti dan kini hanya menunggu proses pewartaan.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah meneliti isu ini dan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi sebelum diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 anjuran Jakim dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Amir Shaharuddin.
Isu Agama Melayu didedahkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) awal bulan ini dan didakwa diasaskan oleh seorang wanita tempatan, Wan Norhayati Wan Alias atau Ibu Yati.
Bekas wartawan akhbar itu kemudian dipanggil oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam dan kes tular berkenaan turut disiasat polis negeri tersebut baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Abdul Aziz bagaimanapun enggan mendedahkan keputusan rasmi hasil daripada mesyuarat muzakarah berkenaan yang bersidang secara atas talian minggu lepas.
“Ia perlu dibawa oleh Bahagian Pengurusan Fatwa Jakim kepada pihak Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan terlebih dahulu sebelum boleh diumumkan kepada masyarakat,” tambahnya.
Ditanya mengenai peranan Jakim dalam isu program vaksinasi Covid-19 yang bermula hari ini, beliau memaklumkan agensi itu sentiasa memberi maklumat betul kepada seluruh umat Islam.
Ini termasuk melalui khutbah Jumaat dan platform media sosial, malah beliau berterima kasih kepada masyarakat Islam yang memahami isu itu daripada dimanipulasi golongan antivaksin.
“Kebanyakan yang musykil itu lebih kepada persoalan hukum halal atau haram namun Jakim tetap berusaha memberi pencerahan tepat agar tidak ramai yang mungkin terkeliru,” katanya.
Kementerian Kesihatan hari ini melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan 532 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan sasaran liputan 80 peratus penduduk. – UTUSAN ONLINE