KUALA NERUS: Gelanggang rasmi Terengganu FC, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini sudah 90 peratus bersedia untuk menghadapi Liga Super yang dijadualkan bermula 5 Mac depan.
Menurut Penolong Pengarah Pengurusan Kompleks Sukan negeri, A. Zulkefli Mohammad, stadium itu kini dalam fasa akhir penyelenggaraan membabitkan aspek padang, bilik persalinan dan aktiviti nyah kuman berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Buat masa ini, kita memberi tumpuan untuk menambah baik dan menjaga kualiti rumput untuk pasukan Terengganu FC memulakan Liga Super bulan depan.
“Proses nyah kuman dilakukan setiap hari di pusat latihan Terengganu FC dan Terengganu FC II di samping gimnasium manakala untuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pula akan dibuat sebelum dan selepas hari perlawanan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Zulkefli berkata, kerja-kerja nyah kuman itu melibatkan 10 kakitangan Kompleks Sukan negeri yang mendapat latihan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, inisiatif itu dalam masa sama sebagai tanda menyambut baik pembukaan sektor sukan dan rekreasi seperti diumumkan Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.
“Kita masih berhati-hati dalam menguruskan kemudahan sukan kerana turut digunakan atlet Sukan Malaysia (Sukma) seperti gelanggang hoki, ragbi dan boling padang.
“Venue-venue lain di luar daerah antaranya Dewan Gimnasium di Marang dan Kompleks Latihan Tinju di Besut juga akan dilakukan aktiviti nyah kuman selepas ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE