SPM: Kerajaan negeri sedia pusat kuarantin khas - Utusan Malaysia

SPM: Kerajaan negeri sedia pusat kuarantin khas

WAN Rosdy Wan Ismail berbual dan bertanya khabar menerusi interkom dengan pelajar SPM yang ditempatkan di KUIPSAS di Kuantan, Pahang hari ini. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri mengambil inisiatif menyediakan pusat kuarantin khas kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 22 Februari ini yang mana ibu bapa mereka disahkan positif pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pusat kuarantin itu diwujudkan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini yang diaktifkan bermula semalam. 

Jelasnya, pusat itu diwujudkan susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah ini terutama membabitkan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). 

Buat permulaan ini katanya, seramai 19 pelajar telah ditempatkan di situ bermula semalam yang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh perempuan. 

“Pusat ini diwujudkan bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa dan berkesan. 

“Ia khusus untuk pelajar yang bakal menduduki SPM bermula 22 Februari ini kerana kita mahu mereka fokus untuk belajar dalam suasana yang kondusif,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pusat kuarantin berkenaan di KUIPSAS di sini hari ini. 

Pada kunjungan itu, Wan Rosdy turut mengambil kesempatan berbual dan bertanya khabar dengan pelajar yang ditempatkan di situ menerusi interkom. 

Wan Rosdy berkata, penempatan itu adalah berdasarkan keperluan prosedur operasi standard (SOP) termasuk daripada segi penjarakan fizikal.

“Telah ditetapkan, satu bilik bagi seorang pelajar, KUIPSAS menyediakan 200 bilik di sini,” katanya. 

Beliau berkata, kesemua pelajar berkenaan disediakan internet untuk mereka mengikuti PdPR, serta makan dan minum secukupnya yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Saya telah minta supaya dipastikan kesemua mereka terus ditempatkan di sini sehingga habis menduduki SPM. Selepas didapati rumah mereka bersih dan bebas dari wabak Covid-19, baharulah mereka dibenarkan pulang. Kita tidak mahu di sini mereka negatif tapi dijangkiti apabila pulang ke rumah,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN