SMK Jelai (Felda) teruskan tradisi makan percuma - Utusan Malaysia

SMK Jelai (Felda) teruskan tradisi makan percuma

SEBAHAGIAN daripada 81 calon SPM 2020 SMK Jelai (Felda), Tampin bergambar bersama tetamu kehormat sempena Program Suntikan Semangat Calon SPM 2020 di sekolah tersebut, hari ini. -UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tradisi makan percuma buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai (Felda) dekat sini diteruskan buat tahun keempat bagi memberi sokongan serta galakan buat calon menjawab peperiksaan dengan lebih baik.

Pengetuanya, Lily Mastura Kamarudin berkata, berbanding tahun sebelumnya, kali ini, tradisi berkenaan diawalkan bermula pada 20 Januari lalu membabitkan seramai 81 calon SPM 2020 ekoran pandemik Covid-19.

“Bermula 20 Januari lalu, kami hanya memberikan pelajar-pelajar ini makan tengah hari percuma bagi mengelakkan mereka pulang ke rumah, namun, untuk hari peperiksaan, kami turut memberi makanan percuma selama 12 hari sehingga 25 Mac iaitu sebanyak tiga kali iaitu sarapan pagi, minum pagi dan makan tengah hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sempena Program Suntikan Semangat Calon SPM 2020 di sekolah tersebut hari ini. Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gemas, Datuk Abdul Razak Ab Said.

Menurut Lily, program pemberian makanan percuma tersebut mendapat bantuan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kami Anak Felda (KAF) Jelai 3, Gerakan Persatuan Wanita (GPW) JelII 3 dan Majlis Belia Felda Malaysia, Felda Jelai 3.

Sementara itu, Pengerusi KAF Wilayah Raja Alias, Mejar (B) Abu Ibon berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada program KAF bagi memberi semangat kepada pelajar yang terdiri daripada anak-anak Felda untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam SPM.

“Kami berharap agar usaha ini dapat menaikkan semangat kesemua calon SPM 2020 yang terkesan pembelajaran masing-masing akibat Covid-19. Usaha dan kerjasama warga sekolah dalam membantu calon-calon SPM ini juga sangat-sangat kami hargai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN