Sistem pertahanan negara, laman web kerajaan masih selamat - Utusan Malaysia

Sistem pertahanan negara, laman web kerajaan masih selamat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Sistem pertahanan negara dan laman web kerajaan masih selamat daripada serangan penggodam buat masa ini.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Buat masa ini di bawah kementerian, tiada (ancaman penggodam) setakat ini. Kita harap laman web dan sistem kita akan terus selamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman serangan kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Anonymous Malaysia terhadap beberapa laman web milik kerajaan sejak minggu lalu.

Dalam kejadian terbaharu tengah malam tadi, kumpulan itu mendakwa telah menggodam laman web milik kerajaan negeri Sabah, Perak, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Selayang.

Walau bagaimanapun, semua laman web tersebut telah pulih dan boleh diakses kecuali laman web milik kerajaan Perak.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN