KUALA LUMPUR : Satu sindiket pengedaran dadah jenis heroin base (bahan asas) terbesar yang didalangi warga tempatan tumpas dalam serbuan di ibu negara dan Selangor pada 19 Februari lalu.
Dalam operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman bersama-sama JSJN Kuala Lumpur itu turut merampas slab heroin base seberat 87.86 kilogram (kg) bernilai RM7.8 juta.
Turut dirampas sepucuk pistol jenis Glock 26 dan 30 bersama 25 butir peluru.
Timbalan Pengarah JSJN (Pelucuthakan Harta/ Perundangan/Tahanan), Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan dalam serbuan itu sepasang suami isteri iaitu wanita terbabit merupakan ketua sindiket terbabit.
Kata beliau, sindiket yang beroperasi sejak 6 bulan lalu itu dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan dan bekalan ini diperoleh dari Myanmar melalui Thailand.
“Kesemua mereka yang ditahan berusia 22 sehingga 46 tahun itu akan tamat reman esok bagaimanapun kita akan memohon untuk melanjutkan reman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di sini Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE