Sindiket edar rokok tidak bercukai tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket edar rokok tidak bercukai tumpas

ANTARA rokok tidak bercukai yang berjaya dirampas di tiga serbuan semalam di Sekinchan, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai tumpas dengan tertangkapnya dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam di sini semalam.

Lelaki warga tempatan dan wanita yang merupakan pekerjanya masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan dalam sebuah kenderaan kira-kira pukul 5 petang.

Tangkapan juga berjaya membongkar dua premis yang dijadikan stor penyimpanan rokok tidak bercukai yang dipercayai dimiliki sindiket yang telah beroperasi lebih dua tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rizal Mohamed berkata, pihaknya melihat kedua-dua individu terbabit  berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemukan 75 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama disembunyikan dalam kenderaan itu dianggarkan bernilai RM5,148 dengan nilai cukai RM8,118.

Menurutnya, hasil siasatan telah membawa kepada serbuan di dua buah premis berasingan di Sekinchan iaitu di Taman Perindustrian Pertama dan Jalan Orkid, Taman Sekinchan Jaya.

“Serbuan telah menemukan 1,960 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM139,354 dengan nilai cukai sebanyak RM228,756.40.

“Kita turut merampas sebuah kenderaan dan tiga buah telefon bimbit dan wang tunai RM10,306. Kita menganggarkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM412,682,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, siasatan lanjut mendapati lelaki warga tempatan itu merupakan ketua sindiket sementara wanita warga Indonesia yang ditahan itu merupakan pekerjanya dan menerima gaji lebih RM1,000 setiap bulan.

“Siasatan mendapati wanita terbabit mempunyai pasport dan masuk ke Malaysia pada 2016 dan bekerja di Kelantan. Namun, pada 2018 datang ke Selangor dan bekerja di negeri ini sebelum bersama dengan sindiket ini sejak Oktober tahun lalu.

“Semua tangkapan dan rampasan di bawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967. Kita percaya, tangkapan dan rampasan ini membantu melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Sekinchan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya