Sindiket dadah didalangi nelayan tempatan dan lelaki Aceh tumpas  - Utusan Malaysia

Sindiket dadah didalangi nelayan tempatan dan lelaki Aceh tumpas 

SAHABUDIN ABD. MANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN:  Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan dan warga Indonesia dari Aceh selepas merampas dadah jenis syabu seberat 263.7 kilogram (kg) bernilai RM9.5 juta. 

Kesemua dadah itu dirampas dalam empat serbuan di lokasi berbeza di sekitar negeri ini pada Rabu dan Khamis lalu. 

Dalam operasi tersebut, seramai lima suspek termasuk dua dalang sindiket iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun serta lelaki yang bekerja sebagai buruh dari Aceh berusia 33 tahun berjaya ditahan. 

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, sindiket itu terbongkar selepas dua lelaki Aceh yang sedang menaiki bot fiber tidak bernombor ditahan di perairan Teluk Tempoyak oleh sepasukan Polis Marin  Rabu lalu kira-kira pukul 6.30 petang. 

“Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek berusia 29 dan 33 tahun itu membongkar lokasi pondok nelayan tidak bernombor di jeti haram di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas. 

“Seterusnya pada Khamis lalu kira-kira pukul 4 pagi, polis menjalankan serbuan di belakang pondok berkenaan dan menemukan sebuah bot fiber yang diikat pada jeti pondok tersebut yang disembunyikan di dalamnya 130 bungkusan plastik warna keemasan dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan turut menjumpai sebuah kereta jenis Mazda yang diparkir di hadapan pondok berkenaan. 

“Pihak polis menjumpai 115 bungkusan plastik keemasan disyaki dadah jenis syabu di ruang antara tempat duduk belakang dan but kereta ini. 

“Keseluruhan dadah yang dirampas di pondok nelayan ini adalah sebanyak 245 bungkus dengan nilai keseluruhan RM9.5 juta,” katanya. 

Tambah beliau, soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek kemudiannya membawa kepada penahanan seorang nelayan warga tempatan berusia 58 tahun di sebuah rumah di Sungai Ara dan seorang pemilik bengkel membaiki bot berusia 57 tahun di bengkelnya di Juru. 

Kata beliau, nelayan tempatan itu merupakan dalang sindiket tersebut dan polis tidak menolak suspek melakukan urusan jual beli dadah dengan suspek dari Aceh menggunakan jalan laut selepas kawalan ketat di laluan darat. 

“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak Disember tahun lalu dan bekalan dadah diperolehi dari Thailand yang kemudiannya diedar untuk pasaran Aceh. 

“Bekalan dadah ini boleh digunakan sehingga 1.32 juta orang pada satu-satu masa,” katanya. 

Selain itu, katanya, polis turut menyita empat buah kereta, wang tunai berjumlah RM30,950 serta barang kemas bernilai RM52,000. 

“Kesemua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya