Sindiket bitcoin RM2.6j tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket bitcoin RM2.6j tumpas

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) menunjukkan gambar suspek yang ditahan berkaitan sindiket melombong bitcoin pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor melumpuhkan sindiket perlombongan bitcoin yang menjalankan kegiatan mencuri arus elektrik dengan menahan tujuh suspek dalam operasi besar-besaran di tiga daerah di negeri ini pada Isnin dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 1,746 unit mesin melombong bitcoin bernilai RM2.6 juta dirampas di 21 premis dalam operasi bersepadu bersama pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, kesemua tujuh suspek warganegara tempatan yang ditahan dalam serbuan terbabit berusia lingkungan 24 hingga 64 tahun.

“Hasil risikan yang dibuat selama sebulan, polis berjaya menumpaskan kegiatan mengubah suai pendawaian elektronik dengan tujuan mencuri arus elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin di negeri ini.

“Sindiket yang aktif beroperasi sejak awal tahun lalu menjalankan kegiatan mereka di tingkat atas premis rumah kedai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, seunit mesin melombong bitcoin berkenaan yang berharga RM200 hingga RM3,000 memerlukan satu kuasa kuda seperti digunakan alat penghawa dingin untuk berfungsi selama 24 jam.

Ujar beliau, dalam serbuan di kawasan Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Tangkak dan Muar itu, kesemua suspek berperanan sebagai penyelenggara premis bagi memastikan operasi berjalan lancar selain memastikan tidak berlaku sebarang musibah.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, kita percaya dapat menumpaskan sindiket terbabit. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket serta ahli lain yang masih bebas.

“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket ini turut mempunyai rangkaian dengan sindiket di negeri lain yang turut menjalankan modus operandi yang sama dalam aktiviti perlombongan bitcoin,” tegasnya.

Menurut Ayob Khan, kegiatan sindiket berkenaan menyebabkan TNB mengalami kerugian mencecah RM8.6 juta.

Jelasnya, berdasarkan laporan TNB Johor pada tahun lalu, agensi itu mengalami kerugian sekitar RM90 juta akibat aktiviti mencuri arus elektrik bagi kegiatan melombong Bitcoin.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya