PUTRAJAYA: Ketibaan vaksin Covid-19 merupakan simbolik bagi setiap titisan tumpahan darah, keringat, air mata dan pengorbanan semua rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus memberikan fajar baharu, perbatasan, mendepani pertempuran berbeza selain strategi tambahan untuk memerangi virus Covid-19.
“Ia memberikan secerah harapan untuk melihat cahaya di hujung terowong. Semoga Yang Maha Kuasa sentiasa memberkati dan melindungi kita semua, memberi kekuatan dan meringankan beban kita.
“Terima kasih kepada barisan hadapan dan tenaga kerja di Kementerian Kesihatan atas dedikasi dan ketabahan. Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini.
Beliau turut bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyaksikan ketibaan vaksin Pfizer-BioNtech di Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Noor Hisham, vaksin keluaran Pfizer-BioNtech itu adalah vaksin Covid-19 dengan nama Comirnaty yang pertama diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu.
Katanya, antara kriteria yang diteliti PBKD dan NPRA adalah profil keselamatan, kualiti dan vaksin yang mempunyai nilai keberkesanan baik untuk digunakan kesemua rakyat Malaysia.
Beliau menjelaskan, pendaftaran bersyarat itu bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin Covid-19 semasa tempoh pandemik menggunakan ‘risk-based approach’, tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
“Vaksin ini juga mestilah melalui proses penilaian yang sewajarnya dan akan sentiasa dipantau dengan rapat setelah ia digunakan.
“Kriteria-kriteria lain bagi membolehkan kelulusan bersyarat ini antaranya adalah vaksin telah berdaftar atau diberi ‘emergency use authorization’ oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori rujukan oleh PBKD atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan mengutamakan kesihatan rakyat dengan memantau dan meneliti semua ubat-ubatan termasuk vaksin yang diperoleh. -UTUSAN ONLINE