Sikap jelik buang sampah tepi jalan - Utusan Malaysia

Sikap jelik buang sampah tepi jalan

GAMBAR dua lelaki membuang sampah di bahu jalan di Lorong Tembikai, Teluk Intan yang menjadi punca pembuangan sampah haram. - UTUSAN/GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di bahu jalan di Lorong Tembikai dekat sini menimbulkan perasaan kurang senang penduduk setempat dan juga orang awam.

Menerusi satu rakaman foto yang disiarkan di laman Facebook Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dua lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda dilihat membuang sampah dipercayai sisa binaan di tepi jalan tersebut.

Seorang penduduk di sini, Shamsuddin Basir, 36, berkata, sikap ambil mudah itu seolah-olah tidak memikirkan perasaan masyarakat setempat yang berhadapan dengan isu pembuangan sampah haram.

“Mereka tiada kesedaran sivik dan mementingkan diri sendiri apabila membuang sampah daripada kenderaan dengan tanggapan ada pihak akan membersihkannya.

“Tindakan itu menyebabkan penduduk terpaksa menanggung akibat apabila ia mencacatkan pandangan selain kehadiran haiwan liar seperti anjing,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Pekerja swasta, Mohd. Dasuki Yaakob, 49, berkata, tiada alasan untuk sesiapa bertindak sedemikian kerana bahu jalan bukanlah tempat membuang sampah sesuka hati selain ia mengotori persekitaran.

Sebaliknya, sampah-sampah besar termasuk sisa binaan hendaklah dibuang di tempat yang sepatutnya.

“Saya mahu pihak MPTI lebih bertegas dengan mengenakan hukuman yang maksimum kepada pelaku-pelaku ini sebagai pengajaran dan jangan beri muka.

“Walaupun kakitangan MPTI melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan ini, namun masih ramai lagi yang suka membuang sampah dan merosakkan pandangan. Mereka ini perlu dihukum,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPTI, Ismail Ibrahim berkata, masalah itu tidak akan selesai selagi masyarakat tidak mengubah sikap dan mempunyai minda kelas pertama tidak kira berapa banyak usaha dilakukan kerajaan dan pihak berkuasa menyediakan kemudahan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kakitangan MPTI bersama agensi lain yang bertungkus-lumus membersihkan kawasan bahu jalan akibat sampah dibuang tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat Teluk Intan perlu berasama-sama berusaha membendung masalah ini kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar amat diperlukan kerana ianya mencerminkan imej dan identiti kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya