KUALA SELANGOR: Persidangan Dewan Rakyat perlu segera diteruskan bagi memastikan suara rakyat didengari dan mendapat pembelaan sewajarnya terutama ketika musim pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan sememangnya menyalurkan pelbagai bantuan, namun, semua wakil rakyat mempunyai hak menyatakan pandangan menerusi persidangan itu.
“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan bagi tempoh setiap enam bulan. Kali terakhir sidang ini dilakukan pada Disember tahun lalu sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.
“Bagi saya, tidak perlu tunggu sehingga Jun hadapan dan boleh dilakukan pada Mac ini kerana suara rakyat perlu didengari oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan alat tulis kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, Tanjong Karang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Izwan Zainuddin dan pengetua sekolah itu, Iskandar Muriani.
Pada 12 Januari lalu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung dengan pengisytiharan darurat oleh Muhyiddin manakala semua pilihan raya tidak akan diadakan sehingga 1 Ogos depan.
Mengulas lanjut, Noh, berkata Dewan Rakyat seharusnya bersidang selepas semua fasa imunisasi itu selesai kelak.
“Tidak kira ada vaksin atau tidak, kita memang sudah bersidang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dengan mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sekiranya bersidang, kita dapat menyelesaikan lebih banyak isu atau masalah secara terperinci yang mungkin sudah terlepas pandang,” katanya.
Ditanya berhubung pemilihan UMNO, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menyerahkan semua keputusan itu kepada pimpinan pusat. -UTUSAN ONLINE