Siasatan terhadap 'agama Melayu' hampir selesai - Ahmad Marzuk

Siasatan terhadap ‘agama Melayu’ hampir selesai

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Siasatan menyeluruh oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu ajaran sesat digelar ‘agama Melayu’ yang didakwa dibawa seorang wanita digelar Ibu Yati hampir selesai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebaik sahaja selesai, pihaknya akan mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada umum secepat mungkin.

Katanya, buat masa ini kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan ruang dan kepercayaan penuh terhadap JAIS untuk menyiasat kes tersebut.

“Jika ada kes wujudnya penyelewengan dalam ajaran Ibu Yati kita akan kemukakan pendakwaan.

“Minggu lalu memang Jakim ada menerima laporan mengenainya selepas tular satu video upacara ritual berkaitan ajaran itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turun padang menyampaikan sumbangan ‘Convection Oven’ oleh Jabatan Wakaf Haji dan Umrah (Jauhar) kepada pihak Hopsital Tumpat untuk kegunaan para pesakit Covid-19 yang sedang dirawat dan dikuarantinkan di situ.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan minggu lalu meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran didakwa sebagai sesat tersebut yang kini sedang disiasat pihak berkuasa agama Islam.

‘Agama Melayu’ dikatakan menggunakan lafaz syahadah yang pelik iaitu ila ha ila ra ila ma dan disambung dengan pengakuan aku Melayu sebanyak tujuh kali.

Ajaran itu juga menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab kononnya mereka membawa Islam Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Marzuk memberitahu, pihaknya sebelum ini juga menerima laporan berhubung berkait dengan satu ajaran sesat di Pahang.

Katanya, Jakim akan turut memanjangkan isu itu kepada Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam pada 16 Februari depan untuk diteliti sama ada perkara itu bercanggah atau tidak dengan ajaran Islam.

“Nasihat saya kepada orang ramai supaya tidak cepat untuk menghukum sesuatu perkara berkait dengan ajaran sesat.

“Kita serah kepada mereka yang pakar untuk membuat keputusan berkait dengan perkara tersebut. Bukan semua orang boleh tentukan ia seleweng atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya