Siasat segera Salahuddin - Utusan Malaysia

Siasat segera Salahuddin

NOOR Hakimi Ab. Halim menunjukkan salinan laporan polis berhubung pendedahan Salahuddin Ayub berkaitan dakwaan pernah ditawar sogokan syarikat kartel daging import di Balai Polis Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: ‘Segera siasat’.

Demikian gesaan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Kedah yang meminta polis menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ini berhubung dakwaan bekas menteri itu pernah ditawarkan sogokan daripada syarikat kartel daging import selepas dilantik memegang jawatan tersebut.

Pengasas Ummah Kedah, Noor Hakimi Ab. Halim berkata, dakwaan Salahuddin mendedahkan kesalahannya tidak melaporkan berkaitan tawaran sogokan yang diterima itu kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM).

“Kenyataan tersebut mendedahkan kesalahan yang dilakukan oleh Salahuddin kerana melanggar Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Mana-mana pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan perlu membuat laporan kepada pegawai SPRM atau polis.

“Selain itu, kenyataan itu juga menyebabkan Salahuddin perlu disiasat di bawah Seksyen 25 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan kegagalan melaporkan transaksi sogokan adalah suatu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, akhbar melaporkan pendedahan Salahuddin pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, tawaran tersebut diberikan ketika beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Noor Hakimi memberitahu, kesalahan yang dibuat oleh Salahuddin itu serius kerana beliau adalah bekas menteri, Ahli Parlimen Pulai, Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara yang mempunyai ramai pengikut.

Sehubungan itu pihaknya membuat laporan polis di Balai Polis Yan dekat sini.

“Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan segera ke atasnya (Salahuddin),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN