ANALISIS
MAMPUKAH UMNO merampas kembali Parlimen Hang Tuah Jaya yang dahulu dikenali sebagai Bukit Katil dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15)?
Itu persoalan yang timbul kerana kerusi itu yang sebelum ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) terlepas kepada penyandang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin pada dua pilihan raya umum sebelum ini.
Bekas Ketua Menteri Melaka yang kini Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam tewas mengejut kepada Ketua Penerangan PKR itu.
Kekalahan Mohd. Ali pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) seperti tidak boleh diterima dalam kalangan penduduk dan pemerhati politik di Bukit Katil ketika itu.
Beliau cuba bangkit pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), tetapi keputusan tetap memihak kepada Shamsul Iskandar dan Pakatan Harapan (PH).
Begitupun ketika bahang PRU-15 yang dikatakan semakin hampir, penyandangnya selama dua penggal didakwa telah membuat keputusan untuk bertanding di tempat lain, bukan di negeri ini.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, tempat Shamsul Iskandar akan diganti oleh Ketua Cabang PKR Bukit Katil, Mohd. Rafee Ibrahim kerana beliau dikatakan paling layak untuk parti itu mengekalkan kemenangan.
Ini kerana nama Mohd. Rafee cukup dikenali kerana sewaktu kerajaan PH memerintah Melaka, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih awal sudah memilih calonnya untuk diletakkan di Hang Tuah Jaya.
Sumber memberitahu, pemimpin muda berusia 31 tahun, Ahmad Khairul Mohd. Noor didakwa bakal menjadi taruhan.
Ahmad Khairul yang juga Exco Pemerkasaan Bumiputera Armada Nasional dikatakan calon muda berwibawa paling layak bertanding di situ.
Beliau yang juga bekas kapten kapal merupakan Timbalan Pengurus Besar SM Ventures, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Menurut sumber dalaman UMNO, calon bagi kerusi Hang Tuah Jaya semestinya perlu datang daripada UMNO atau Pas.