GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pemaju perumahan mempertimbangkan cadangan supaya unit-unit rumah yang tidak terjual disewakan atau ditawarkan pilihan sewa untuk memiliki kepada golongan kurang berkemampuan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan lambakan rumah tidak terjual di pasaran ketika ini malah membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Selain itu jelas beliau, kerajaan juga perlu menggalakkan inisiatif perumahan untuk disewa dengan mempercepatkan enakmen Akta Penyewaan melindungi kepentingan tuan tanah dan penyewa.
Jelas beliau, akta itu juga bertujuan mewujudkan perjanjian penyewaan yang standard dan boleh diperoleh secara dalam talian untuk digunakan tuan tanah selain memperkenalkan Tribunal Sewa khas bagi menyelesaikan masalah penyewaan dengan cepat.
“Kerajaan seharusnya memikirkan dengan serius mengenai penyewaan sebagai penyelesaian kepada krisis kemampuan perumahan memandangkan banyak kajian menunjukkan kelas pertengahan tidak dapat memiliki unit rumah sendiri kerana harga rumah begitu tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hartanah yang tidak terjual dilaporkan tertinggi ketika ini sejak 2018 iaitu sebanyak 63,063 unit dengan nilai RM46.96 bilion sehingga Jun tahun lalu.
Menjelang September tahun lalu, hartanah tidak terjual semakin buruk dengan unit bangunan tinggi berharga antara RM200,000 dan RM700,000 paling teruk terjejas iaitu 70.5 peratus daripada unit yang tidak terjual.
Menurut Mohideen, angka itu menggambarkan kegagalan sepenuhnya dasar perumahan negara yang membenarkan pemaju membina terutama untuk mengaut keuntungan dan spekulasi dengan mengabaikan keperluan perumahan sebenar rakyat.
Katanya, keperluan perumahan yang tidak sepadan dengan bekalan perumahan itu merupakan peruntukan pada tempat yang salah dan pembaziran sumber negara.
Dalam masa sama jelasnya, kerajaan berusaha membantu pemaju yang mewujudkan sendiri masalah itu untuk menjual rumah yang tidak laku dengan menggesa supaya memudahkan lagi pinjaman bank.
“Ini akan mewujudkan tekanan ke atas sistem kewangan dan keberhutangan bagi golongan miskin yang sebenarnya tidak mampu memiliki rumah mahal dan risiko kehilangan pendapatan dan pekerjaan mereka ketika pandemik,” katanya.