Selangor dapat vaksin dibeli Mei depan - Utusan Malaysia

Selangor dapat vaksin dibeli Mei depan

AMIRUDIN (tengah) meninjau kawasan Kilang Perusahaan Nestle, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, hari ini. UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menjangkakan dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli bakal diperoleh selewat-lewatnya pada Mei atau Jun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembelian semua vaksin itu dianggap penting bagi membantu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Setakat ini, kita belum menentukan jumlah sebenar vaksin berkenaan, namun, ia melibatkan kuantiti besar dan kos yang tinggi.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangka memperolehnya seawal Mei atau Jun nanti. Kita akan buat pengumuman rasmi mengenai proses pengagihan vaksin ini selepas diperoleh kelak,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Perusahaan Nestle, Seksyen 15 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pengarah Eksekutif Nestle Malaysia Bhd., Juan Aranols.

Bulan lalu, Amirudin memaklumkan kerajaan  negeri merancang membeli tiga hingga lima juta dos vaksin Covid-19 sebagai tindakan mengawal penularan virus dan memutuskan rangkaian jangkitan.

Langkah itu bertujuan memastikan kesihatan rakyat Selangor terus terjamin dan memastikan bekalan vaksin berkenaan mencukupi selain keperluan kepada rakyat serta pekerja asing kerana industri di negeri ini memerlukannya. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status bekalan dan agihan vaksin Covid-19 di Selangor, beliau memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Saya akan menemui Menterinya, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Perbincangan ini akan memfokuskan jumlah pengagihan vaksin di seluruh Selangor,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN